HEADLINES

Exco Kedah: Bersatu sekadar diberi 3 portfolio berbanding 5 penggal terdahulu

Senarai itu menyaksikan Sanusi memegang portfolio terbesar iaitu lapan berbanding tujuh ketika beliau mengangkat sumpah jawatan pada 2020 lalu

3:56 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bersatu, parti gabungan yang membentuk Perikatan Nasional (PN) hanya diberi tiga jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) Kedah berbanding lima yang diberikan sebelum ini.

Selebihnya, senarai itu didominasi tujuh wakil PAS selain satu Gerakan, yang mana menyaksikan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor memegang portfolio terbesar iaitu lapan berbanding tujuh ketika beliau mengangkat sumpah jawatan pada 2020 lalu.

Sanusi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jeneri memegang portfolio Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035 dan Kerjasama Luar.

Tiga wakil Bersatu yang diberikan jawatan tersebut adalah Adun Bukit Kayu Hitam, Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan), Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan) dan Adun Kubang Rotan, Datuk Mohd Salleh Saidin (Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, dan Keusahawanan).

Pengumuman barisan exco ini turut menjawab desas-desus dalam kalangan parti Bersatu yang didakwa tidak berpuashati apabila hanya tiga jawatan diperuntukkan kepada parti berkenaan.

Jumlah itu dilihat kurang berbanding lima wakil Bersatu membarisi senarai exco kerajaan negeri diterajui Sanusi pada penggal sebelum ini.

Barisan exco kali ini juga menyaksikan gabungan tiga muka lama dan tujuh muka baharu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini, PN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah dengan pembangkang hanya menang tiga kerusi sahaja.

Komposisi DUN Kedah ketika ini menyaksikan PAS menguasai 21 kerusi, Bersatu (11), Gerakan (1), manakala PKR (2) dan DAP (1).

Senarai penuh exco Kedah:

  1. Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor (Perancang Negeri, Hal Ehwal Tanah, Mineral dan Geosains, Hasil Bumi, Kewangan, Syarikat Berkaitan Kerajaan, Majlis Tindakan Ekonomi Negeri, Pembangunan Kedah 2035, Kerjasama Luar)
  2. Datuk Siti Aishah Ghazali (Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan)
  3. Mohd Azam Abd Samat (Pendidikan, Agama, Komunikasi dan Penerangan)
  4. Dr Haim Hilman Abdullah (Industri dan Pelaburan, Pengajian Tinggi; Sains, Teknologi dan Inovasi)
  5. Datuk Halimaton Shaadiah Saad (Kebajikan, Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Perpaduan)
  6. Mohamad Yusoff@Munir Zakaria (Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar)
  7. Mejar (B) Mansor Zakaria (Perumahan, Kerajaan Tempatan, Kesihatan)
  8. Dzowahir Ab Ghani (Pertanian, Perladangan, Pengangkutan)
  9. Datuk Mohd Salleh Saidin (Pelacongan, Kebudayaan, Keusahawanan)
  10. Radhi Mat Din (Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan)
  11. Wong Chia Zhen (Sumber Manusia; Masyarakat Cina, India dan Siam; NGO) – 21 Ogos, 2023

Topics

 

Hangat

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

Related