HEADLINES

Lafaz taklik jika kerajaan kekal hingga Ogos tidak boleh ditarik, tetapi kena… – Na’im

Beliau menasihatkan suami jangan menjadikan isteri objek pertukaran atau sebab kepada taklik kerana Islam sudah menaikkan taraf isteri

6:19 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Status perkahwinan individu yang didakwa memuat naik hantaran untuk menceraikan isterinya dengan talak tiga sekiranya Kerajaan Perpaduan dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertahan sehingga Ogos 2023, kini menjadi tanda tanya.

Ia susulan bulan sudah berganti September, namun pentadbiran Anwar masih kekal sebagai kerajaan.

Walaupun lelaki terbabit mendakwa tidak pernah memuat naik hantaran itu dan menegaskan kenyataan berkenaan sebagai fitnah, netizen tetap ingin tahu hukum di sebalik lafaz sekiranya benar ia dilakukan mana-mana individu.

Menjawab isu terbabit, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, kenyataan dimuat naik menerusi hantaran itu adalah dikategorikan sebagai lafaz taklik dan daripada segi hukum Islam, ia tidak boleh ditarik semula apabila dilafazkan.

Katanya, sekiranya sebab taklik itu dikaitkan dengan perceraian talak tiga kepada isteri, ia adalah perkara amat tidak bertanggungjawab.

“Isteri tidak boleh dijadikan objek pertukaran atau menjadi sebab kepada sesuatu taklik kerana isteri ini, perlu dinilai, dinaikkan martabat. Islam sudah menaikkan taraf seorang isteri tersebut dan seorang wanita.

“Jadi dalam konteks berkenaan, sama ada jatuh talak taklik ataupun tidak, di bawah peruntukan undang-undang, jelas menunjukkan bahawa mana-mana permohonan untuk mengesahkan taklik itu, pihak terbabit (suami dan isteri) perlu failkan kes di mahkamah syariah dan ini diperuntukkan dalam semua enakmen setiap negeri,” katanya menerusi video di Facebook hari ini.

Justeru, Na’im menasihatkan kepada isteri atau suami untuk memfailkan permohonan berhubung lafaz taklik itu di mahkamah bagi mengesahkan perceraian berkenaan sama ada sah atau sebaliknya.

“Hanya hakim syarie di mana pihak terbabit bermastautin, boleh menentukan sama ada taklik berkenaan jatuh ataupun tidak.

“Jadi saya nasihatkan yang pertama seorang suami mesti bertanggungjawab, bila mana lafazkan taklik jangan libatkan maruah seorang isteri.

“Kedua, kalau nak mengesahkan sesuatu lafaz sama ada jatuh ataupun tidak, jangan rujuk kepada pihak ketiga, (kerana) yang hanya boleh menentukan sama ada lafaz itu jatuh ataupun tidak adalah hakim mahkamah syariah,” katanya.

Terdahulu, menerusi hantaran individu berkenaan, dia didakwa kononnya menulis kata-kata ‘Wallahi, saya akan ceraikan bini (isteri) saya dengan lafaz talak tiga jika PMX (Perdana Menteri Kesepuluh) dan Kerajaan Perpaduan, masih bertahan sampai bulan 8, 2023.

Selepas hantaran itu tular dan menerima kecaman ramai pihak, lelaki terbabit tampil menafikan dia menulis kenyataan berkenaan dan menegaskannya adalah fitnah.

Tegasnya, hantaran itu disunting pihak tidak bertanggungjawab yang mahu menjatuhkan maruahnya dengan menggunakan agenda politik.

“Dengan nama Allah, saya tak tulis pun dalam Facebook saya. Jadi, saya tak risau apa-apa pun. Selebihnya Allah SWT maha mengetahui,” katanya. – 1 September, 2023

Topics

 

Hangat

Malaysia’s medal tally takes a dent after key sports excluded from Glasgow Commonwealth

OCM accepts decision of badminton and squash, among others, being axed from 2026 Games as organisers plan for a leaner, more financially sustainable event

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

US returns over US$1.37b in stolen 1MDB assets to Malaysia: Azalina

While Malaysia celebrates the return of US$1.37b in misappropriated 1MDB assets from the US, Law Minister Datuk Seri Azalina Othman Said reveals that the final tally of recovered wealth remains a moving target due to market fluctuations and complex, ongoing global court battles

Related