HEADLINES

Stok bekalan beras negara mencukupi, tiada keperluan guna stok penimbal: Mat Sabu

6:47 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Stok bekalan beras negara mencukupi untuk menampung keperluan domestik bagi tempoh empat hingga lima bulan ini dan belum ada keperluan kecemasan untuk menggunakan stok penimbal, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu. 

Beliau berkata setakat ini stok bekalan beras negara adalah sebanyak 900,000 tan metrik meliputi 250,000 tan metrik stok penimbal kerajaan dan 650,000 tan metrik stok dagangan. 

 “Sehubungan itu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) berpandangan bahawa masih belum terdapat keperluan mendesak yang bersifat kecemasan untuk menggunakan stokpail (stok penimbal) yang berjumlah 250,000 tan metrik.

“Stok dagangan sedia ada sebanyak 650,000 tan metrik adalah mencukupi bagi menampung keperluan domestik,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-12 (KSP RMK12) di Dewan Rakyat hari ini. 

Mengulas kenaikan harga beras beliau berkata, harga beras putih tempatan kekal pada RM2.60 per kilogram (kg) manakala kenaikan berkenaan hanya membabitkan beras putih import (BPI).

“Mulai tahun 2023, BERNAS menerima impak berganda kerana bukan sahaja terpaksa menyerap kenaikan kos yang semakin meningkat, malah membekalkan jumlah beras 38 peratus lebih tinggi daripada biasa. Namun, BERNAS terus komited mengimport beras bagi mencukupkan bekalan. 

“Pelarasan harga BPI sehingga 36 peratus iaitu daripada RM2,350 kepada RM3,200 per tan metrik mulai 1 Sept 2023 dilaksanakan oleh BERNAS bagi mengurangkan kerugian yang semakin tinggi dalam menampung kos belian dan kos pengimportan,” katanya. 

Mohamad berkata kekurangan bekalan beras di pasaran domestik dijangka dapat dipulihkan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata kementerian juga sedang giat melaksanakan inisiatif bagi meningkatkan pengeluaran hasil padi negara supaya mencapai sasaran Kadar Sara Diri (SSR) beras iaitu sebanyak 80 peratus menjelang 2030.

Antara inisiatif dilakukan adalah pelaksanaan program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) yang diperluaskan dengan menyasarkan pelaksanaan program di kawasan seluas 150,000 hektar sawah padi melibatkan purata pengeluaran hasil sebanyak tujuh tan bagi setiap hektar.

Selain itu, dalam membantu golongan pengusaha makanan, KPKM menerusi sesi libat urus pada 15 Sept lepas bersama persatuan peniaga, telah menawarkan lesen borong kepada golongan terbabit yang bernaung di bawah persatuan perniagaan. 

“Melalui lesen borong ini, pengusaha makanan dapat menikmati harga belian BPI pada harga borong tetap iaitu RM160/50kg (harga pintu gudang),” katanya. 

Selain itu, Mohamad berkata pihaknya dalam usaha untuk mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Kebajikan Petani India dalam masa terdekat, bagi mencari penyelesaian terbaik isu sekatan eksport beras. 

“Selain itu, BERNAS turut dalam perundingan bersama negara sumber beras yang lain seperti Vietnam, Thailand dan Kemboja,” katanya. 

Mohamad berkata pelbagai langkah intervensi dilakukan bagi mengatasi isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) termasuk mengesan aktiviti salah laku seperti penyorokan beras dan memastikan rantaian bekalan pengedaran beras mematuhi perundangan dan peraturan.

Katanya Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) – diadakan sejak 16 Ogos lepas meliputi pemeriksaan di kilang padi dan pemborong beras – mendapati tiada bukti kukuh yang mengesahkan dakwaan penyelewengan penjualan beras dengan menukar bungkusan atau label beras putih dan dijual pada harga beras import lebih tinggi. – 18 September, 2023

Topics

 

Hangat

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Related