HEADLINES

Muktamar PAS: Tiada pertandingan untuk jawatan ‘Top 5’: Takiyuddin

Takiyuddin berkata, pemilihan tahun ini hanya membabitkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dengan 18 ahli jawatankuasa serta jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap

2:12 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Lima jawatan tertinggi PAS, iaitu presiden, timbalan presiden dan tiga naib presiden tidak akan dipertandingkan pada Muktamar Tahunan PAS ke-69 yang dijadual berlangsung pada 20 hingga 22 Oktober ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, ia kerana hanya ada masing-masing satu pencalonan untuk jawatan presiden dan timbalan presiden, manakala satu daripada empat calon naib presiden sudah menarik diri.

“Saya baharu menerima pengesahan seorang calon (naib presiden) menarik diri, iaitu Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, jadi untuk jawatan naib presiden tiada apa-apa pertandingan.

“Ini bermakna barisan naib presiden sedia ada dikekalkan, iaitu Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Idris Ahmad; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah dan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Agung PAS di sini, hari ini.

Jawatan Presiden PAS ketika ini dipegang Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Sehubungan itu, Takiyuddin berkata, pemilihan tahun ini hanya membabitkan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, dengan 18 ahli jawatankuasa serta jawatan pengerusi tetap dan timbalan pengerusi tetap.

Muktamar Tahunan PAS ke-69 dijangka berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Shah Alam, manakala Muktamar Dewan Ulama PAS Pusat, Dewan Pemuda PAS serta Dewan Muslimat PAS akan diadakan lebih awal, iaitu pada 18 dan 19 Oktober

Selain itu, Konvensyen Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat dan Sidang Assabiqun PAS Pusat, akan diadakan di Hotel De Palma, Shah Alam pada 19 Oktober.

Mengulas mengenai pembatalan kemenangan wakil PAS di kerusi Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) lalu, Takiyuddin berkata, PAS akan meneliti Perakuan Hakim Pilihan Raya sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami hendak tengok dahulu apakah alasan dan dapatan dibuat Hakim Pilihan Raya untuk kes (pembatalan kemenangan) Kemaman ini,” katanya.

Mahkamah Pilihan Raya Terengganu pada Selasa, membatalkan kemenangan wakil PAS, Che Alias Hamid yang mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Kemaman pada PRU-15, selepas mendapati bantuan i-Belia dan i-Siswa diberi kerajaan negeri kepada pengundi semasa tempoh berkempen adalah rasuah.

Pada Jun, kemenangan PN di Parlimen Kuala Terengganu turut dibatalkan atas alasan sama, namun PAS tidak merayu keputusan itu, sekali gus membawa kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) serentak dengan PRN di enam negeri lain bulan lalu. – 29, September, 2023

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Best results since 2013: SPM 2024 shows improvement across the board

14,179 students scored straight A’s, significantly increasing from 11,713 last year and highest number in over a decade

Related