HEADLINES

SG4 terbuka terima pandangan mana-mana pihak, termasuk Kit Siang: Samsuri

Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar juga tidak menafikan kumpulan SG4 masih perlu bergantung kepada kerajaan Persekutuan dalam membawa dan menarik pelaburan

4:15 PM MYT

 

SHAH ALAM – Kumpulan empat negeri (SG4) ditadbir Perikatan Nasional (PN) terbuka menerima pandangan dan nasihat berkait ekonomi serta pelaburan daripada mana-mana pihak.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia termasuk pandangan dan nasihat daripada pemimpin veteran DAP, Tan Sri Lim Kit Siang.

Katanya, beliau juga tidak menafikan kumpulan SG4 masih perlu bergantung kepada Kerajaan Persekutuan dalam membawa dan menarik pelaburan.

Ahmad Samsuri berkata, bagi memperkukuh kerjasama SG4, tumpuan akan diberikan kepada lima kluster – Infrastruktur dan Logistik; Perdagangan, Pelaburan dan Perniagaan; Pertanian dan Sekuriti Makanan; Perundangan dan Modal Insan serta Sumber dan Pendapatan Baharu – Alif Omar/Scoop, 21 Oktober, 2023

“Saya sangat terbuka untuk mendapat nasihat mana-mana pihak yang beri pandangan dan cadangan, termasuklah kalau Tan Sri Lim Kit Siang sendiri nak beri pandangan, kita terbuka.

“Nak tunjuk betapa begitulah kita terbuka, ini melangkaui politik, sebab kalau nak bercakap soal politik setiap masa, pagi petang siang malam, 24 jam, sebab perbezaan politik, saya rasa Malaysia apatah lagi negeri-negeri ini, tidak boleh bergerak ke hadapan,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Sebelum ini Kit Siang mendakwa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad seolah-olah menjilat ludahnya sendiri selepas menjadi penasihat tidak rasmi kepada kumpulan SG4.

Katanya, tindakan itu membuktikan tuduhan Dr Mahathir terhadap PAS menerusi penulisan beliau dalam buku ‘Capturing Hope – The Struggle Continues for a New Malaysia’, hanyalah dusta dan penipuan semata-mata.

Samsuri berkata, sebelum ini juga kerajaan Pusat banyak membantu membawa pelaburan ke negeri berkenaan melalui bantuan pelbagai agensi dan program koridor ekonomi wilayah.

Ahmad Samsuri juga berkata disebab perbezaan politik, Malaysia, apatah lagi negeri-negeri ditadbir Perikatan Nasional, tidak boleh bergerak ke hadapan – Alif Omar/Scoop, 21 Oktober, 2023

“Kerjasama ini sedang berjalan sejak sekian lama, banyak pencapaian diperoleh dengan semua negeri yang terbabit dengan koridor wilayah ini, itu tidak kita nafikan.

“Kita buat kerjasama empat negeri ini untuk memperkukuhkan peranan boleh dimainkan dalam mendapat pelaburan baharu kerana setiap negeri ini, tidak sama kedudukan geografi dan keupayaan masing-masing,” katanya yang memaklumkan usaha sedang dilakukan dalam menarik pelabur dari Jepun, Korea, China serta Timur Tengah.

Selain itu, Samsuri berkata, bagi memperkukuh kerjasama empat negeri berkenaan, tumpuan akan diberikan kepada lima kluster.

“Kluster terbabit adalah Infrastruktur dan Logistik; Perdagangan, Pelaburan dan Perniagaan; Pertanian dan Sekuriti Makanan; Perundangan dan Modal Insan serta Sumber dan Pendapatan Baharu.

“Semua pihak terutama agensi dan badan berkanun di bawah setiap pentadbiran negeri, sudah berbincang bagaimana untuk bergerak berdasarkan kluster ini,” katanya sambil menambah masih awal bagi menetapkan sasaran angka pelaburan bagi SG4. – 21 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

Related