HEADLINES

Laporan PAC mengenai perolehan ventilator cetus lebih banyak persoalan berbanding jawapan: MMA

Satu penjelasan lengkap perlu diberikan kepada rakyat Malaysia mengenai ventilator yang tidak berfungsi namun tiada pihak yang mahu bertanggungjawab dalam hal itu

3:41 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menegaskan perlu ada akauntabiliti lengkap atas kekurangan dokumentasi dalam perolehan ventilator yang didedahkan oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), semalam.

Presidennya Dr Azizan Abdul Aziz berkata, laporan PAC mengenai pengurusan pandemik COVID-19, termasuk isu ventilator, menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.

“Sekiranya Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB) tidak mempunyai pengalaman dalam pemerolehan peralatan perubatan, lebih-lebih lagi, dokumentasi yang sewajarnya perlu ditekankan untuk ketelusan dan akauntabiliti.

“Satu penjelasan lengkap perlu diberikan kepada rakyat Malaysia mengenai bagaimana 104 daripada 136 ventilator yang dihantar tidak berfungsi, namun tiada pihak yang mahu bertanggungjawab dalam hal itu,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, isu tersebut bukan sahaja melibatkan sejumlah besar dana awam tetapi mungkin juga memberi kesan ketara kepada pengurusan kes COVID-19 yang teruk di negara ini.

Tambahan pula, katanya, kekurangan dokumentasi mengenai pemerolehan menunjukkan terdapat keperluan mendesak untuk dasar pemerolehan kecemasan yang mantap bagi mengelakkan perkara seperti itu berulang.

“Urus niaga untuk perolehan ventilator mungkin berlaku pada masa paling luar biasa, tetapi jika proses perolehan biasa tidak dapat dilakukan, sekurang-kurangnya, dokumentasi yang sewajarnya harus ditegaskan.

“Dokumen, termasuk dokumen yang ditandatangani masih boleh dikongsi melalui WhatsApp,” katanya.

Semalam, PAC mendedahkan ketiadaan perjanjian bertulis antara Kementerian Kesihatan (KKM) dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

Menurut Laporan Pengurusan Wabak COVID-19: Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan lebihan Peralatan Perlindungan Diri (PPE), tiada kontrak digubal antara KKM dan PLSB mengenai perolehan ventilator dan Penasihat Undang-undang KKM juga tidak dirujuk semasa proses penyediaan surat pelantikan PLSB.

Laporan yang dikeluarkan PAC itu mendedahkan sehingga kini ketidaktentuan peranan PLSB dalam isu itu mengakibatkan proses mengambil tindakan undang-undang tidak dilaksanakan.

Selain itu, PAC mendapati terdapat percanggahan keterangan antara KKM dan PLSB berkaitan kewujudan waranti kesemua 136 unit ventilator. – 31 Oktober, 2023

Topics

 

Hangat

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

Related