◉ HEADLINES

CEO Finas rancang libat urus dengan penggiat industri, dapatkan input

Ia termasuk libat urus dengan Persatuan Penerbit Filem (PFM), Persatuan Seniman, Persatuan Pekerja Professional Filem (Profima) serta pemegang taruh lain

10:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) Datuk Azmir Saifuddin Mutalib merancang untuk mengadakan libat urus dengan penggiat industri dalam waktu terdekat bagi mendapatkan input dan menyelami industri itu secara lebih dekat.

Azmir Saifuddin yang baharu dilantik memegang jawatan itu berkuat kuasa semalam berkata ia termasuk libat urus dengan Persatuan Penerbit Filem (PFM), Persatuan Seniman, Persatuan Pekerja Professional Filem (Profima) serta pemegang taruh lain seperti operator panggung wayang, pengedar dan pembekal filem.

Menurutnya beliau akan meneliti secara holistik rantaian dalam industri, bukan sekadar melihat kepada pembikin filem sahaja, dan sekiranya ada kelompongan tertentu beliau akan cuba membaikinya dengan memperkenalkan inisiatif atau program penggalakan yang baharu.

“Kesemua yang terlibat dalam industri ini adalah cabang perniagaan dan selepas COVID-19 saya pasti mereka menghadapi pelbagai isu. Kalau kita bercerita berkenaan production, (ada) isu kenaikan kos sara hidup, kebajikan, kontrak, begitu juga dengan pawagam, isu pengurangan penonton dan sebagainya.

“Jadi, selepas dikumpulkan semua data (isu) yang diperolehi dan dianalisis barulah saya bawa ke Mesyuarat Ahli Perbadanan Finas pada minggu ketiga bulan ini untuk diperhalusi sebelum menetapkan hala tuju yang baharu,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Azmir Saifuddin, 48, yang dilantik sebagai CEO Finas berkuat kuasa semalam bagi tempoh dua tahun, berkelulusan Ijazah Pengkomputeran daripada Universiti Sheffield Hallam, United Kingdom.

Beliau memulakan kerjayanya di Bahagian Kreatif Multimedia Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta pernah berkhidmat sebagai Pengarah Urusan di Base FX.

Mengulas pertemuannya dengan Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil semalam, beliau berkata Fahmi mahukan supaya perbadanan itu memberi tumpuan kepada menghasilkan kandungan filem yang berkualiti supaya dapat dieksport ke pasaran luar negara.

Selain itu katanya Fahmi juga mahukan beliau menstruktur semula Finas supaya ia lebih efektif dan efisien, dari segi memberikan perkhidmatan yang baik kepada industri. – 2 November, 2023

Topics

 

◉ Popular

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

38% of AirAsia flights delayed in 2024: Loke

Minister outlines measures to improve on-time performance, including incentives, penalties, and full refunds for major delays

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

◉ Related