HEADLINES

Penggantungan kad perakuan media Harakah berlandaskan hujah, syarat tertentu: Fahmi

Bagaimanapun, katanya, organisasi media itu boleh membuat rayuan dan memberi penjelasan mengenainya

3:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil menegaskan penggantungan kad perakuan media akhbar pembangkang, Harakah dibuat berdasarkan beberapa hujah dan syarat ditetapkan Jabatan Penerangan (Japen).

Menurutnya, mana-mana organisasi media perlu mematuhi syarat yang ditetapkan Japen dalam membuat sebarang liputan.

“Mengenai isu ini tindakan sudah diambil oleh Jabatan Penerangan dan sebenarnya memang ada beberapa syarat dikenakan kepada mana-mana organisasi media.

“Dan syarat-syarat itu terpakai sekiranya mereka ingin memperoleh kad perakuan media. Saya percaya ada hujah-hujah tertentu,” katanya pada sidang media  selepas majlis pelancaran semula akhbar The Sun di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Fahmi berkata, Harakah boleh membuat rayuan mengenai penggantungan tersebut.

“Mereka boleh buat rayuan dan berikan penjelasan. Proses itu ada. Buat masa ini, saya belum menerima apa-apa rayuan, tapi saya akan semak nanti dengan Jabatan Penerangan sama ada telah dihubungi (oleh Harakah).

“Kalau kita lihat, Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) kita seorang yang pemaaf, jadi mungkin boleh dipertimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, Fahmi turut menasihatkan semua pengamal media agar membuat laporan berita berlandaskan etika kewartawanan serta fakta yang sahih.

Malah, Fahmi menegaskan kerajaan sama sekali tidak pernah menyekat hak kebebasan bersuara tetapi ia harus seiring dengan adab dan laporan beretika.

“Ingin saya tegaskan kita (kerajaan) amalkan kebebasan media, kebebasan bersuara tapi negara kita ada undang-undang dan ada adab.

“Jadi selagi mana ia tidak melanggar mana-mana undang-undang dan adab, maka teruskanlah berekspresi dan teruskan melapor. Sekiranya pelanggaran itu berlaku, maka pihak berkuasa akan ambil tindakan,” katanya.

Terdahulu, Harakah menerbitkan satu set gambar mengiringi artikel yang memaparkan Perdana Menteri dengan bendera Israel di belakangnya.

Anwar bagaimanapun mengecam tindakan tidak beretika itu dengan menyifatkan penerbitan artikel tersebut sebagai biadap dan kurang ajar semasa sesi Dewan Rakyat semalam. – 8 November, 2023

Topics

 

Hangat

Lower assessment rates for PJ properties, but up to 25% higher quantum due to property value

MBPJ set to review real estate taxes for 2025, 33 years after last revision

AGC refutes Tun M’s claim that Anwar’s royal pardon was invalid

Attorney General’s Chambers says full pardon followed constitutional process in 2018; Apandi affirms advice was given despite being on leave

New NFDP technical director sets blueprint to reduce reliance on naturalised players

Following heritage player fiasco, Ong Kim Swee focuses on developing homegrown talent

Related