HEADLINES

Projek pelabuhan, jambatan darat Thailand beri manfaat kepada Malaysia: PM

Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin memberi jaminan untuk melibatkan Malaysia dalam projek itu

6:51 PM MYT

 

BUKIT KAYU HITAM – Rancangan Thailand untuk membina pelabuhan serta jambatan darat yang akan memintas laluan perkapalan di Selat Melaka memberi manfaat kepada Malaysia khususnya di kawasan Utara Semenanjung.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan akan memastikan Malaysia menerima manfaat dan terlibat dalam projek tersebut.

Beliau berkata, Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin turut menyuarakan pandangan serta memberi jaminan untuk melibatkan Malaysia dalam projek itu.

“Jambatan darat itu tentunya masih di peringkat awal, tapi dalam perbincangan (dengan Srettha) memang akan libatkan Malaysia dan akan memberi manfaat kepada Malaysia terutama utara Semenanjung.

“Bagi kita ada faedahnya (projek itu) dan kita akan memanfaatkan kemudahan di situ dan sama ada kita menyertai atau ada ekuiti itu masih terlalu awal untuk dibincangkan.

“Tetapi semangat yang ditunjukkan Perdana Menteri Thailand, dia kata ‘kami akan memastikan Malaysia akan mendapat manfaat dan terlibat dalam projek’,” kata Anwar pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Sadao, Wilayah Songkhla, Thailand dekat sini hari ini.

Pada sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) di San Francisco baru-baru ini, Srettha dilaporkan membangkitkan semula idea projek itu yang melibatkan kos RM131 bilion menerusi pembinaan pelabuhan baharu Ranong di barat dan Chumphon di timur yang akan dihubungkan melalui landasan kereta api atau jalan.

Projek laluan sejauh 90 kilometer itu dijangka memendekkan perjalanan menerusi laut selama empat hari dan kos dijimatkan 15 peratus antara Teluk Siam dan Laut Andaman.

Sementara itu, Perdana Menteri menyifatkan Srettha sebagai sangat komited untuk menyelesaikan perkara-perkara berbangkit melibatkan kedua-dua negara selain mahu keputusan segera dicapai yang memberi manfaat kepada Thailand dan Malaysia.

Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat tapak Jajaran jalan baharu di CIQ, Sadao di wilayah Songkhla, Thailand hari ini – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 27 November, 2023

“Dalam perbincangan secara terperinci dengan Srettha beliau berkata Phuket umpamanya dapat manfaat sangat baik (dalam pelancongan) dan beliau mengarah Menteri Pelancongan Thailand untuk mengagih manfaat itu kepada Langkawi agar ada sinergi antara dua negara.

“Sikap itu jarang berlaku dalam perhubungan dua negara, jadi saya menyatakan penghargaan kerana sikap dia begitu dan ini bukan sekali, dalam beberapa perjumpaan sebelum ini di Putrajaya, di San Francisco dan sebelum itu di New York saya tengok dia konsisten.

“Tidak boleh ada hubungan dua hala yang hanya manfaat kepada satu negara dan kurang kepada negara lain. Jadi sebab itu di mana kita ada manfaat kita kongsi dengan dia, dan dia dapat manfaat dalam pelancongan dia ingat kepada kita,” katanya.

Terdahulu, Anwar mengadakan lawatan kerja sehari ke Sadao, Wilayah Songkhla dekat sini dengan fokus untuk membincangkan isu berkaitan kerjasama dua hala Malaysia-Thailand dengan Srettha.

Lawatan itu yang merupakan atas jemputan Srettha, antara lain bertujuan bagi melihat kemajuan projek jajaran jalan menghubungkan pusat pemeriksaan Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam di Malaysia serta Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao, Thailand.

Anwar yang diiringi beberapa menteri, timbalan menteri serta pegawai-pegawai kanan kerajaan turut mengadakan pertemuan empat mata dengan Srettha sebelum kedua-dua pemimpin kemudian melawat tapak titik pertemuan Projek Jajaran Jalan Menghubungkan ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao, yang merupakan projek dua hala yang sedang dilaksanakan Malaysia dan Thailand. – 27 November, 2023

Topics

 

Hangat

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

KWAP duped in RM200m eFishery scam, Anwar confirms

Prime Minister Anwar Ibrahim says the RM200 million eFishery investment was a deliberate fraud, prompting lawsuits, fund recovery efforts and tighter controls to protect civil service pensions

Related