◉ HEADLINES

Kes Sulu: Azalina harap mahkamah Madrid jatuhkan hukuman setimpal ke atas Stampa

Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau sedikit khuatir kerana Stampa merupakan individu yang amat berpengaruh di Madrid

10:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia berharap Mahkamah Madrid akan menjatuhi hukuman setimpal ke atas penimbang tara Sepanyol Dr Gonzalo Stampa yang bakal dibicarakan pada 11 Dis ini atas dua kes jenayah berkaitan award akhir kepada Kumpulan Sulu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata beliau sedikit khuatir kerana Stampa merupakan individu yang amat berpengaruh di Madrid.

“Ayahnya seorang yang terkenal malah terlibat dalam proses kemerdekaan negara Sepanyol, terlibat dalam gerakan revolusi ketika itu, dia juga seorang peguam, maknanya ayah dia dan keluarga dia orang berpengaruh.

“Kami harap tiada tekanan secara negatif sebab dah terang yang dia melanggar banyak undang-undang di Sepanyol,” katanya selepas menjadi tetamu program Ruang Bicara: Setahun Bersama Kerajaan Malaysia MADANI di Wisma BERNAMA hari ini.

Azalina berkata beliau bersama pihak Jabatan Peguam Negara dan beberapa pegawai antarabangsa akan ke Sepanyol bagi mengikuti perbicaraan itu.

Azalina berkata perbicaraan dan hukuman terhadap Stampa amat penting terutama berkaitan tindakannya memberikan award meskipun pelantikan beliau sebagai penimbang tara telah diberhentikan selain masih meneruskan pendengaran kes timbang tara antarabangsa dan beralih ke negara lain untuk melaksanakan keputusan terhadap Kerajaan Malaysia.

“…award itu saya bukan panggil Sulu Award tapi Sulu Fraud, mereka pergi ke banyak negara Eropah sebab negara Eropah ini bila tengok award daripada timbang tara, mereka anggap award itu sah, itu sebab kita kena bermula semula di negara yang beri award pertama iaitu di Madrid.

“Jadi kita mahu Mahkamah Madrid kenakan Stampa hukuman jenayah terhadap kedaulatan Malaysia dan ini (akan jadi) satu kemenangan kerana ini punca dia bergerak ke negara lain untuk aniaya Malaysia,” katanya.

Beliau juga berkata kes Sulu menjadi teladan kepada Malaysia yang tidak mempunyai undang-undang kekebalan negara.

Azalina berkata apa yang berlaku menyaksikan Malaysia menjadi mangsa kepada Sulu Fraud yang membabitkan proses timbang tara antarabangsa.

“Ketika itu kita tidak bersedia, negara kita pun tidak stabil, jadi mereka ambil kesempatan, sebab itu kita bentang Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023 bacaan kali pertama di Dewan Rakyat tempoh hari,” katanya.

Beliau berkata rang undang-undang itu antara lain bertujuan mengawal selia kekebalan yang diberikan kepada sesuatu negara asing dan hartanya, ketua negara dan ketua kerajaan sesuatu negara daripada bidang kuasa mahkamah Malaysia serta akan dibentang bagi bacaan kali kedua pada sesi pembukaan Parlimen berikutnya. – 4 Disember, 2023

Topics

 

◉ Hangat

79 candidates to fight for 28 seats in Melaka polls

Besides notable incumbents defending their seats such as Melaka CM Datuk Seri Ab Rauf Yusoh and Melaka Pakatan chief Adly Zahari, the Prime Minister’s political secretary Datuk Azman Abidin will contest his maiden election in Paya Rumput

MCA gets four seats in Melaka polls, predicts tough fight in DAP strongholds

Initially given two seats, last-minute negotiations within Barisan Nasional now lands MCA with the staunchly DAP seats of Kota Laksamana and Bandar Hilir

Binance pours US$6.3b to plug 90% of massive cyber heist as regulators circle

Crypto titan Binance has deployed over US$6.3 billion of its own reserves to absorb a colossal cyberattack, pledging full restitution as global securities watchdogs ramp up scrutiny

◉ Related