HEADLINES

Kesihatan lagenda bola sepak Kedah, Rahman Tasu, semakin merosot selepas serangan strok keempat

Isteri beliau, Asmanida Ismail, berkata sebelum serangan pada bulan September, suami masih boleh berjalan dan bercakap

12:34 PM MYT

 

ALOR SETAR – Bekas pemain bola sepak Kedah era 90-an, Abdul Rahman Tasu berdepan ujian berat apabila tidak mampu berjalan dan bercakap akibat serangan strok pada September lepas. 

Abdul Rahman, 60, masih mampu berjalan dan bercakap selepas mula mengalami serangan strok kira-kira lapan tahun lepas, namun kesihatannya semakin merosot apabila diserang strok kali keempat pada bulan September. 

Isterinya, Asmanida Ismail, 45, berkata sebelum serangan strok kali keempat itu, suaminya masih boleh berjalan menggunakan tongkat serta mampu bercakap walaupun pertuturannya tidak jelas dan tidak lancar. 

“Saya terpaksa berhenti kerja sebagai tukang masak kerana perlu menjaga dan menguruskan suami kerana dia tidak mampu untuk menguruskan diri sendiri…saya yang akan angkat dia ke bilik air, pakaikan lampin pakai buang dan suapkan makan dan minumnya. 

“Semua urusan memang saya perlu lakukan sendiri kerana kami tinggal berdua di rumah sewa dan tidak dikurniakan cahaya mata walaupun sudah berkahwin selama 15 tahun,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Pekan Langgar, di sini hari ini.  

Asmanida berkata Abdul Rahman pada masa ini hilang selera makan dan hanya mahu menjamah bubur nasi kosong sejak beberapa hari lepas. 

“Suami masih faham bila dengar orang bercakap cuma dia tidak boleh bercakap, jadi untuk berkomunikasi dia akan mengangguk kepala atau guna isyarat tangan jika hendak balas soalan yang ditanyakan,” katanya. 

Menurut Asmanida, selain berdepan masalah kesihatan, mereka turut dihimpit masalah kewangan dan hanya bergantung kepada wang pencen suaminya berjumlah kira-kira RM1,500 sebulan. 

“Sumber kewangan memang bergantung sepenuhnya kepada pencen suami yang sebelum ini bekerja sebagai kerani di Wisma Darul Aman…macam-macam perlu dibayar termasuk sewa rumah, bil elektrik dan air, (membeli) lampin pakai buang serta perubatan alternatif untuk suami. 

“Ubat-ubatannya memang dapat percuma daripada hospital tetapi kami juga cuba rawatan alternatif kerana nampak ada sedikit perubahan padanya, jadi untuk rawatan berkenaan memerlukan sedikit wang,” katanya menambah suaminya akan sedih apabila diajak bersembang mengenai bola sepak serta rakan sepasukannnya. 

Dalam pada itu, Abdul Rahman ketika ditanya sama ada masih mengingati rakan seperjuangan termasuk Muhamad Radhi Mat Din, hanya mengangguk dan menitiskan air mata. 

Abdul Rahman merupakan seorang daripada pemain Kedah yang berjaya membantu menjulang Piala Malaysia pertama pada 1990 selepas menang 3-1 menentang Singapura dan merupakan juara bola sepak Sukan Malaysia edisi pertama pada 1986. – 21 Disember 2023

Topics

 

Popular

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related