HEADLINES

3 anggota polis ditahan reman, bantu siasatan wang RM85,000 hilang semasa Op Khas

Mereka direman empat hari mulai semalam sehingga 26 Disember ini, dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan

4:42 PM MYT

 

KUALA LUMPUR — Tiga anggota polis berusia dalam lingkungan 26 hingga 35 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan berhubung kehilangan wang tunai RM85,000 dari sebuah premis di Lebuh Pudu, ketika operasi khas (Op Khas) dijalankan oleh polis.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, mereka telah direman selama empat hari mulai semalam sehingga 26 Disember ini.

Kes berkenaan, katanya disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

“Polis menerima aduan daripada pemilik premis pada pukul 12.36 tengah malam, 22 Disember lalu yang mendakwa wang tunai RM85,000 yang disimpan di premis itu hilang.

“Dalam siasatan itu, kita telah menahan seramai tiga anggota polis berusia 26 hingga 36 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes kehilangan wang tunai seperti mana yang dilaporkan,’’ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Allaudeen berkata, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan, justeru orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan ataupun boleh menimbulkan sebarang kegusaran awam.

Terdahulu, tular satu laporan polis berkaitan kejadian terbabit di media sosial, yang mana pengadu mendakwa wang hasil perniagaan berjumlah RM85,000 tersimpan dalam almari di premisnya didapati hilang.

Pengadu mendakwa, semakan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di dalam premis itu menunjukkan tiga anggota polis dilihat memasuki premisnya pada hari kejadian.

Dalam operasi besar-besaran bermula jam 11 pagi itu, sebanyak 60 premis di lokasi berkenaan serta di sekitar Kompleks Kota Raya diperiksa dan seramai 1,101 warga asing ditahan untuk pemeriksaan. – 24 Disember, 2023

Topics

 

Hangat

Football for All? Not at this World Cup – T. Vignesh

The 2026 Fifa World Cup was supposed to be football's biggest celebration yet

[WATCH] Sabah’s progress held back by federal influence and weak local unity: Junz Wong

Warisan leader argues state’s resource wealth has not translated into progress, pointing to political fragmentation and comparisons with Sarawak’s stronger cohesion

Police rescue teenagers forced into online sex scam syndicate in Johor

Two minors and one man were rescued in Op Bugil as police uncover abuse, forced labour and extortion by syndicate active since November

Related