HEADLINES

Piala Asia 2023: Qatar pasukan pertama layak ke pusingan kalah mati

Kemenangan 1-0 ke atas Tajikistan membolehkan skuad The Maroons mengungguli Kumpulan A

8:42 AM MYT

 

DOHA – Juara bertahan, Qatar muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke pusingan 16 terbaik selepas menundukkan Tajikistan 1-0 pada perlawanan kedua Kumpulan A, Piala Asia 2023 di Stadium Al Bayt di Bandar Al Khor, kira-kira 35 kilometer dari sini, malam ini.

Kejayaan itu membolehkan skuad The Maroons bimbingan Marquez Lopez meraih kemenangan kedua berturut-turut untuk mendahului saingan kumpulan dengan mengumpul enam mata menjelang perlawanan terakhir bertemu China, minggu depan.

Penyerang kelab Al Sadd, Akram Afif, sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kemenangan pada separuh masa pertama perlawanan sekali gus menyaksikan beliau kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan mengumpul tiga gol.

Jaringan kemenangan itu terhasil pada minit ke-17 menerusi serangan balas pantas apabila Afif yang menerima hantaran Almoez Ali tidak teragak-agak melepaskan rembatan dari jarak dekat yang menewaskan penjaga gol Rustam Yatimov.

Gol pembukaan itu ternyata membakar semangat Qatar yang kemudian memperoleh beberapa peluang antaranya menerusi tandukan Jassem Gaber pada minit ke-39 dan rembatan Afif pada minit ke-43, yang memaksa Yatimov bekerja keras untuk mempertahankan kedudukan menjelang waktu rehat.

Harapan Tajikistan yang dibimbing Petar Segrt untuk bangkit musnah pada minit ke-81 apabila pemain tengah Amadoni Kamolov dilayangkan kad merah selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati beliau menendang Ahmed Al Ganehi.

Sebagai rekod, ini adalah pertembungan sulung kedua-dua pasukan di pentas Piala Asia.

Terdahulu, dalam satu lagi aksi Kumpulan A, China mencatat keputusan seri kedua selepas terikat tanpa jaringan bertemu Lubnan di Stadium Al Thumama.

China kini di kedudukan kedua dengan mengumpul dua mata sementara Tajikistan dan Lubnan yang mengumpul satu mata masing-masing di tempat ketiga dan keempat. – 18 Januari, 2024

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related