HEADLINES

Perselisihan faham suami, isteri: Suami kelar isteri beberapa kali guna pisau pemotong

Polis buka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan

11:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang wanita cedera di bahagian leher, bahu sebelah kiri, tangan, kaki dan belakang badan selepas ditikam suaminya ekoran perselisihan faham dalam sebuah kereta di Lebuhraya Kesas dekat Kota Bayu Emas, Klang, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pada pukul 1.41 petang, anggota polis bertugas di Pusat Kawalan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah menerima panggilan kecemasan daripada orang awam memaklumkan kejadian lelaki menikam
seorang wanita di lokasi berkenaan.

Menurut beliau, hasil siasatan mendapati mangsa dan suspek adalah pasangan suami isteri, warga tempatan, di mana mangsa berusia 49 tahun manakala suspek berusia 50 tahun.

“Suspek bersama mangsa menaiki kereta jenis Mazda CX5 warna biru gelap dan perjalanan ke kedai makan. Pada masa tersebut berlaku perselisihan faham di antara mereka dan suspek telah memberhentikan kereta di bahu jalan Lebuhraya Kesas berdepan Gravit 8, Kota Bayu Emas, Klang.

“Kemudian suspek bertindak mengelar mangsa beberapa kali menggunakan pisau pemotong. Mangsa dalam ketakutan telah keluar dari kereta untuk meminta bantuan orang awam. Apabila sebuah kereta berhenti untuk memberikan bantuan, suspek terus melarikan diri menggunakan keretanya.

“Bertindak atas maklumat tersebut, kereta peronda IPD Klang Selatan telah mengesan suspek dan telah menjumpai kereta suspek di Jalan Baru Nilai 34, Klang. Anggota polis mendapati suspek dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam kereta,” katanya.

Beliau memberitahu, anggota polis telah memecahkan cermin tingkap untuk membuka pintu kereta dan menyelamatkan suspek dengan bantuan pihak ambulans.

Katanya, suspek dalam keadaan berlumuran darah telah dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang untuk pemeriksaan dan rawatan.

“Dalam kejadian ini mangsa telah mengalami kecederaan luka kelar di bahagian leher, bahu sebelah kiri, tangan sebelah kanan, kaki sebelah kiri dan belakang badan manakala suspek mengalami kecederaan luka kelar di kedua-dua belah tangan. Mangsa telah dirawat di hospital sama.

“Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan mendatangkan kecederaan menggunakan senjata dan boleh dihukum dengan penjara selama tempoh yang boleh sampai 10 tahun atau denda atau dengan sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.

Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menyalurkannya terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – 19 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Related