HEADLINES

3 masjid utama bawah Jakim digerakkan sokong kempen #GengsubuhmacamJumaat

Tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya

8:52 PM MYT

 

KOTA TINGGI – Tiga masjid utama di bawah kendalian Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan mula digerakkan dalam usaha kerajaan menyokong kempen #GengSubuhMacamJumaat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata kempen itu akan diteruskan di peringkat Persekutuan, bertitik tolak daripada kejayaan kempen berkenaan yang dimulakan selebriti Alif Satar, ditambah pula dengan kejayaan Program Semarak Subuh oleh Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata tiga masjid berkenaan ialah Masjid Negara di Kuala Lumpur serta Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin di Putrajaya.

Dengan mengekalkan slogan #GengSubuhMacamJumaat, Mohd Na’im berkata perancangan sedang dibuat bersama agensi berkaitan serta selebriti berkenaan dengan program pertama dijangka diadakan pada 27 Januari ini.

“Kita akan bekerjasama dengan sesiapa sahaja yang berbuat kebaikan, sebab itu saya mengharapkan golongan belia macam Alif Satar dengan status yang dia ada sebagai selebriti, membawa anak-anak muda ini (ke arah kebaikan).

“Datuk Menteri Besar (Datuk Onn Hafiz Ghazi) dan (Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Negeri Johor) Mohd Fared Mohd Khalid pun ada sebut, semasa Menteri Besar hadir (pada Program Semarak Subuh) semalam, hampir menitis air mata terharu sebab lihat kebanyakan yang hadir ialah anak-anak muda. Subhanallah,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada kejayaan menghimpunkan lebih 12,000 jemaah pada Program Semarak Subuh dan kempen #GengSubuhMacamJumaat di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato’ Onn di Johor Bahru semalam, akan diteruskan di peringkat Persekutuan.

Program Semarak Subuh yang merupakan inisiatif Onn Hafiz, mula dilaksanakan 5 Januari tahun ini di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri Johor membabitkan 838 masjid dan 1,942 surau di seluruh negeri ini.

Sementara itu, kempen #GengSubuhMacamJumaat yang dimulakan Alif sejak Disember tahun lepas juga mula menjadi ikutan ramai dan turut digerakkan pempengaruh lain di seluruh negara.

Dalam hal lain, Mohd Na’im yang berada di negeri ini untuk misi pascabanjir selama dua hari berkata lebih RM1.5 juta sumbangan dan bantuan pelbagai bentuk daripada enam agensi di bawahnya telah disampaikan.

Beliau berkata ia termasuk bantuan dari segi baik pulih rumah, barang keperluan peralatan pembersihan, kit solat, bank makanan serta pakaian terpakai dan berharap dengan bantuan dan sumbangan itu akan dapat meringankan beban mereka yang terjejas banjir bulan ini.

Terdahulu, Mohd Na’im menyampaikan sumbangan kepada 120 Ketua Isi Rumah yang terjejas banjir di Kampung Sungai Telor, dekat sini. – 21 Januari, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

Related