HEADLINES

SESB dianggar rugi RM200 juta setahun akibat ‘curi karan’: Madius Tangau

Satu peratus kehilangan elektrik itu menyebabkan SESB kerugian RM30 juta setahun

10:26 AM MYT

 

KOTA KINABALU – Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM200 juta setahun akibat perbuatan mencuri bekalan elektrik atau lebih dikenali sebagai ‘curi karan’ dalam kalangan penduduk tempatan di negeri ini.

Pengerusinya Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata SESB berdepan kehilangan elektrik sebanyak 17 peratus dalam grid bekalan elektriknya, dan daripada jumlah itu 10 peratus merupakan kehilangan secara teknikal manakala tujuh peratus kehilangan bukan teknikal atau akibat kecurian.

Beliau berkata daripada anggaran sudut kewangan, satu peratus kehilangan elektrik itu menyebabkan SESB kerugian RM30 juta setahun, justeru kehilangan bukan teknikal atau kecurian itu menyebabkan kerugian RM210 juta setahun kepada SESB.

“Jumlah ini (RM210 juta setahun) merupakan 25 peratus daripada kerugian keseluruhan dihadapi SESB. Jumlah itu juga cukup untuk membantu mengurangkan kebergantungan SESB kepada subsidi kerajaan yang ketika ini sekitar RM850 juta setahun.

“Ini juga bererti bahawa jika sekiranya kita dapat membanteras kecurian ini, kelestarian kewangan SESB akan jauh lebih baik. SESB adalah mangsa penjenayah curi karan, oleh sebab itulah tu SESB sangat mengambil serius untuk membanteras kegiatan mencuri ini,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan kepada Bernama di sini hari ini, sempena kunjungan hormat beliau terhadap Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Jauteh Dikun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini semalam.

Mengulas mengenai kunjungan itu, Madius berkata dalam pertemuan itu pihak SESB dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bertukar pandangan dan bersetuju untuk menjalin kerjasama lebih kukuh bagi membanteras jenayah kecurian elektrik di negeri ini.

“Saya yakin dan percaya melalui pertemuan ini, ia akan meningkatkan lagi kerjasama yang sedia terjalin antara SESB dan PDRM pada masa akan datang. Sama-sama kita perangi jenayah dan kegiatan mencuri elektrik ini,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu penting kerana SESB hanya merupakan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan tidak mempunyai kuasa berdasarkan undang-undang untuk menahan mereka yang terlibat dalam kes kecurian elektrik ini.

“SESB sebenarnya mangsa kepada jenayah curi dan di peringkat kita, tindakan yang diambil adalah melaporkan kepada pihak berkuasa. Justeru kita mahu kerjasama erat dengan PDRM untuk menangani isu kecurian elektrik ini,” katanya. – 14 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Health Ministry bans sale of five cosmetics for containing scheduled poisons

The Health Ministry has revoked the notification of five cosmetic products as they were found to contain scheduled poisons and are no longer allowed to be sold in Malaysia.

World sepak takraw rankings: ambitious start, stalled progress?

Six months after the ISTAF World Cup, the much-anticipated ranking system remains in limbo, leaving questions about the sport’s Olympic future

Malaysia breaks medal tally record for SEA Games outside of KL – NSC

The national contingent has so far garnered 54 gold, 55 silver and 112 bronze medals

Related