HEADLINES

Jasmine Loo belum buat laporan polis mengenai ancaman daripada Jho Low

Jasmine Loo berkata dia mahu mendapatkan nasihat peguamnya dahulu sebelum membuat laporan polis selepas pulang ke Malaysia

9:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Bekas peguam 1Malaysia Development Bhd memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau belum membuat laporan polis terhadap ancaman yang diterima daripada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low semasa bertahun-tahun bersembunyi sejak 2018. 

Jasmine Loo Ai Swan, 50, berkata demikian ketika menjawab soalan peguam Datuk Seri Najib Tun Razak, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkenaan mengapa beliau tidak membuat sebarang laporan polis selepas menerima ancaman daripada Jho Low ketika berada di Thailand.

“Seperti, saya katakan sebelum ini, saya berada dalam ancaman dan sebarang pergerakan saya dipantau rapi.

“Saya tidak mahu membahayakan diri saya dengan melakukan sebarang gerakan bertentangan dengan arahan Jho Low, itulah sebab saya tidak ke mana-mana,” katanya.

Muhammad Shafee kemudian bertanya kepada saksi pendakwaan ke-50 itu sama ada beliau membuat laporan polis selepas pulang ke Malaysia.

Loo berkata:”Belum lagi, saya akan mendapatkan nasihat peguam saya.” 

Terdahulu, Loo mengakui Jho Low merupakan kawan baiknya dan beliau menerima hadiah mahal daripada ahli perniagaan itu termasuk sebuah beg tangan Hermes dan seutas jam tangan Richard Mille yang telah diserahkan kepada kerajaan.

Muhammad Shafee kemudian berkata saksi berkenaan selalu menyertai Jho Low dalam banyak aktiviti yang menyeronokkan seperti bercuti di Las Vegas, Amerika Syarikat, berjudi, menyaksikan perlawanan suku akhir Piala Dunia 2014 di Rio de Janeiro, Brazil dan berpesta dengan selebriti termasuk  Adriana Lima dan Leonardo Di Caprio, semuanya yang ditaja sepenuhnya ahli perniagaan itu.

Loo bersetuju dengan cadangan itu dan berkata itu semua merupakan perkara biasa dilakukan antara kawan rapat.  

“Dia (Jho Low) adalah seorang yang bersuara amat lembut jadi dia tidak menggunakan bahasa kasar sehingga 2015, 2016, bila dia kelihatan sedikit menjengkelkan,” katanya. 

Muhammad Shafee mencadangkan kepada saksi bahawa Jho Low menjadi seorang yang menjengkelkan pada 2015 selepas skandal 1MDB didedahkan kepada umum dan Loo setuju dengan cadangan beliau.

Najib, 70, menghadapi empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Collin Sequerah bersambung 14 Mac ini. – 28 Februari, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Harimau Malaya is TMJ’s vision: CEO

Rob Friend describes Johor Crown Prince as 'the visionary' behind Harimau Malaya’s heritage player initiative

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related