HEADLINES

Pegawai kerajaan jangan berlebihan sambut perayaan sehingga ganggu tugasan: Koo Ham

Datuk Ngeh Koo Ham juga berkata, cara untuk kita berpatah balik menjadi sebuah negara mendapat pendapatan berlebihan ialah untuk rakyat kerja dengan lebih rajin dan tekun

9:22 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pegawai kerajaan diingatkan supaya tidak ‘ralit’ dan jangan berlebihan meraikan sesuatu perayaan dalam tempoh lama serta besar-besaran, sehingga boleh mengganggu fokus terhadap tugasan.

Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham berkata, golongan itu juga digesa lebih tekun bekerja dalam memastikan semua projek permohonan diluluskan dengan kadar segera mengikut masa ditetapkan, sekali gus mengatasi kenaikan kos kewangan.

Katanya, jika sesuatu projek lambat diluluskan kerana kelewatan pegawai kerajaan, ia menjadi kos kepada pemaju, sekali gus mengakibatkan rakyat menanggung kesan kenaikannya.

“Saya mohon kepada pihak pegawai kerajaan marilah kita tekun kerja, pastikan semua projek permohonan diluluskan dengan kadar segera, kalau ada perayaan, kita boleh raikan perayaan, tetapi jangan keterlaluan.

“Kalau hari raya (Aidilfitri) janganlah sampai sebulan kita beraya, kalau boleh di sesebuah daerah bagilah pegawai daerah anjurkan satu majlis hari raya besar-besaran.

“Jangan setiap jabatan pun adakan perayaan sehingga banyak kerja tak dapat dibuat dan kalau projek lambat dibuat, diluluskan, ia menjadi kos kepada pemaju, akhirnya rakyat menanggung kenaikan kos ini,” katanya pada Persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai strategi bagi mengendalikan situasi genting daripada aspek kewangan yang kini membelenggu Malaysia seterusnya mengelakkan risiko muflis, Koo Ham berkata, kerajaan perlu membuat keputusan ‘berjaga-jaga’ bagi mengelakkan rakyat semakin terkesan.

“Kadang-kadang keputusan terpaksa dibuat untuk elak negara muflis dan ia memerlukan kerajaan berjaga-jaga ketika negara membuat keputusan bagaimana mengendalikan keadaan genting ini

“Saya mohon kepada kerajaan jangan secara mendadak memansuhkan semua subsidi seperti petrol, diesel kerana kalau dimansuhkan secara mendadak dan cukai dinaikkan, ia akan menyebabkan satu keadaan panik dalam kalangan rakyat, seterusnya ini mungkin akan menyebabkan harga semua barang naik mendadak,” katanya.

“Matlamat kita ialah supaya rakyat tidak tertekan dengan kehidupan, kos sara hidup tak terlalu tinggi…” katanya.

Beliau juga memohon kerajaan supaya setiap peringkat rancangan akan dilaksanakan dipertimbangkan kesannya dan dilakukan secara berperingkat.

“Satu-satu cara untuk kita berpatah balik menjadi sebuah negara mendapat pendapatan berlebihan ialah untuk rakyat kerja dengan lebih rajin dan tekun, sekali gus selamatkan Malaysia supaya produktiviti serta pendapatan bertambah dan kita boleh bayar balik hutang dalam masa singkat,” katanya.

Sementara itu, Koo Ham menasihatkan kepada golongan kurang berkemampuan supaya gigih berusaha untuk meraih pendapatan tambahan dan mengelak sikap meminjam.

“Bagi rakyat miskin, saya dapat ajaran ni dari nenek dan bapa saya, kalau kita tak cukup duit kita jangan pinjam, kalau boleh kita kerja untuk wang tambahan,” katanya.

Malah, beliau menarik perhatian Dewan Rakyat apabila berkongsi kisah kecilnya yang terpaksa berniaga kecil-kecilan untuk mendapatkan wang poket tambahan.

“Dulu saya pergi ke sekolah bapa bagi duit saku 10 sen, tapi kalau nak lebih bila hari cuti saya pergi jual aiskrim, dapat dari kedai tiga sen, saya jual lima sen, satu hari kadang-kadang boleh dapat 20 sen, kadang-kadang sampai 80 sen, saya amat gembira, kita ni boleh jadi kaya jangan pinjam.

“Kalau boleh janganlah minum orang kata ‘kopi mewah’, kalau boleh bancuh lah sendiri di rumah 50 sen, di luar RM15 pula kita bayar.

“Begitu juga kalau ada RM5,000, bayarlah dompet RM200, jangan beli RM7,000 pinjam pula RM2,000, kita jadi miskin, jadi begitulah kita mesti melalui keadaan susah sekarang ini,” katanya. – 5 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

RM1.3bil raised, but MEX II left incomplete with only RM30mil in the bank

With construction stalled, government mulls takeover as MACC probes RM416 million in alleged false claims 

OCM in the spotlight again: Skechers collab draws flak after brand linked to Israel

With shoe sponsorship amounting to almost RM200,000, Datuk Nazifuddin Najib says sports should be free from any agenda as the aim is to provide comfort to athletes

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

Related