HEADLINES

Makan kurma bersama mentega kena ikut niat sebenar, bukan kerana sedap

Rakyat Malaysia boleh makan kurma dengan mentega ini tetapi pastikan mentega yang kita ambil itu sedikit sahaja ataupun nipis, sekadar mengambil sunnah

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pengambilan kurma bersama mentega ketika sahur dan berbuka puasa tidak memudaratkan kesihatan, sekiranya ia dimakan sekadar mengikut sunnah Rasulullah dan mengikut kuantiti bersesuaian keadaan semasa.

Bercakap kepada Scoop, pakar pemakanan, Profesor Dr Hamid Jan berkata, individu yang ingin menikmati kombinasi makanan itu harus memastikan saiz atau sapuan mentega digunakan adalah sedikit atau nipis.

“Rakyat Malaysia boleh makan kurma dengan mentega ini tetapi pastikan mentega yang kita ambil itu sedikit sahaja ataupun nipis, sekadar mengambil sunnah.

“Bukan makan untuk sedap tapi pastikan niat, maksud di sini niat ambil tu hanya untuk sunnah,” katanya ketika dihubungi.

Bagaimanapun, beliau berkata, makanan itu tidak digalakkan diambil mereka yang mengalami masalah kesihatan, termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti kolesterol tinggi, darah tinggi dan jantung.

Profesor Dr Hamid Jan berkata, mereka yang mengalami masalah kesihatan, termasuk penyakit tidak berjangkit (NCD), seperti kolesterol tinggi, darah tinggi dan jantung tidak digalakkan untuk mengambil kurma bersama mentega – Gambar ihsan, 13 Mac, 2024

“Keadaan kesihatan rakyat kita (Malaysia) sekarang ini mungkin tak sama dengan keadaan kesihatan nabi dan sahabat baginda dulu. Kita sekarang ni, boleh dikata agak mudarat kerana kadar obesiti yang agak tinggi dan keadaan penyakit NCD.

“Jadi mengikut keadaan semasa ini, saya nasihatkan rakyat kita kalau boleh jangan ambil mentega yang banyak jika dia ingin mengambil sunnah berkenaan,” katanya.

Ditanya apakah hidangan sahur sihat boleh diambil individu ketika Ramadan, Dr Hamid berkata, sajian itu perlu mengikut kadar ‘suku-suku separuh’, iaitu masing-masing suku bahagian menu karbohidrat dan protein serta separuh buah-buahan atau sayur-sayuran.

“Dalam sahur pastikan makanan tu sihat terutama kalau orang tu ada masalah kesihatan atau masalah berat badan, tetapi jika individu normal, sihat dan dia jenis makan sihat sepanjang hari, boleh jika nak cuba sedikit makanan viral ini.

“Apapun, ambil mengikut keadaan kesihatan semasa, berpada-pada,” katanya.

Diminta berkongsi tip pemakanan untuk berbuka puasa, Dr Hamid berkata, cara terbaik adalah memakan kurma atau sebiji kuih dengan air sebaik berkumandang azan, sebelum terus bersolat Maghrib.

“Selepas Maghrib, bolehlah makan berat sedikit tetapi kuantiti tidak terlalu banyak, selepas Isyak dan Tarawih baru sambung makan hidangan tadi. Bila kita makan macam ni, glukos dalam darah kita tidak naik mendadak dan badan pun tidak terkejut selepas sepanjang hari puasa.

“Jika makan macam-macam, ia akan memberi beban pada badan untuk hadam makanan itu dan akhirnya, manfaat kita berpuasa untuk kesihatan tak dapat lah. Sepatutnya puasa ni menyihatkan tapi memudaratkan bila masa berbuka sampai tidur tu terus makan, kita kena makan sikit-sikit, kena pastikan banyak minum air sebab siang kita tak minum air,” katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kurma dimakan bersama mentega, sehingga ia mencetuskan perdebatan apabila ada yang teruja mencuba, manakala segelintir mempersoalkan kesan buruknya terhadap kesihatan. – 13 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Related