HEADLINES

Misha Omar nafi tekan Sharon Paul cetuskan magis Masihkah Ada Rasa Itu?

Misha turut mendapat bantuan Datuk Syafinaz Selamat selaku jurulatih vokal untuk single baharunya itu

1:48 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Hampir empat tahun tanpa single baharu, akhirnya kelahiran Masihkah Ada Rasa Itu? merungkai segala keresahan peminat yang sentiasa mendambakan buah tangan daripada penyanyi, Misha Omar.

Apa yang menarik, Masihkah Ada Rasa Itu? menyaksikan Misha kembali bekerjasama dengan komposer Sharon Paul yang pernah mencetuskan fenomena buat dirinya menerusi Sampai Bila, enam tahun lalu.

“Kesempurnaan sesebuah komposisi tidak hanya bergantung kepada kekuatan melodi dan lirik, bahkan penghayatan penyanyi turut memainkan peranan penting untuk membawa lagu tersebut terus ke depan.

“Sebagai penyanyi yang sudah lama berada dalam industri, peminat sedia maklum akan kekuatan dan kekurangan saya. Justeru, saya mencari sebuah karya yang dapat membantu dan pada masa sama, menyerlahkan lagi kekuatan serta kematangan saya.

“Sepanjang empat tahun, saya berusaha mencari di samping mengkaji keberagaman lagu pop yang dihasilkan penyanyi lain untuk disesuaikan selera peminat masa kini. Bertitik tolak dari situ terlahirnya Masihkah Ada Rasa Itu?” katanya yang kali terakhir muncul dengan single Tanpa Rela pada 2020.

Sinonim dengan karya balada, Misha bersama Sharon dibantu Datuk Syafinaz Selamat sebagai pengarah vokal berusaha menyuntik sedikit nuansa baharu dalam gaya penyampaiannya tanpa sesekali membelakangkan identiti yang sudah sebati dengan dirinya.

Namun akui Misha, Masihkah Ada Rasa Itu? tetap menuntut penghayatan emosi tersendiri, sekali gus memberinya cabaran baharu kerana perlu bijak mengimbangi permainan rasa ketika menyampaikan lagu tersebut.

“Misha Omar dikenali ramai sebagai penyanyi balada yang sarat emosi. Tetapi, Masihkah Ada Rasa Itu? pula menuntut saya menjadi sebaliknya apabila memerlukan saya untuk mengakali emosi tatkala menyampaikan lagu itu supaya tidak terlalu larut dalam perasaan.

“Lagu ini membawa pendengar terkenang perkara yang sudah berlalu, namun masih belum dilepaskan sepenuhnya. Saya bersyukur dengan bantuan Syafinaz, tuntutan lagu itu dapat saya sampaikan dengan baik,” katanya.

Akur ramai pasti mengharapkan kolaborasi terbarunya bersama Sharon itu mengulangi pencapaian cemerlang yang dilakar Sampai Bila, Misha bagaimanapun enggan dirinya dibebani harapan besar itu.

“Saya bukan seorang yang cerewet, malah tidak pernah sesekali memberi tekanan kepada Sharon untuk menghadirkan magis dalam ciptaannya. Saya realistik, malah sentiasa percaya, kejayaan sesebuah karya turut berkait rapat dengan rezeki.

“Apa yang dapat saya katakan, sentuhan Sharon mempunyai satu sisi yang dapat menyentuh hati sesiapa yang mendengar lagu ciptaannya. Sebagai komposer, Sharon sangat istimewa kerana mempunyai kelebihan itu,” katanya. – 14 Mac, 2024

Topics

 

Popular

Can Mutiara LRT line transform Penang’s transport, economy? Here’s an explainer

The RM13bil endeavour aims to tackle congestion, enhance connectivity, and spark economic growth across the island

Malaysian teen made RM76,000 selling child porn as police bust major online abuse ring

Authorities arrest 31 suspects, including six minors and a religious teacher, in nationwide Op Pedo 2.0 raids that uncovered 880,000 exploitative files

Amarjit Singh elected UCI vice-president, a first for the nation

Cycling chief vows to strengthen Asia’s voice in global sport after historic win in Kigali

Related