HEADLINES

Empat majikan palsu dokumen, guna alamat syarikat tidak wujud ditahan Imigresen

Mereka memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mengemukakan alamat syarikat yang mengelirukan serta sengaja didaftarkan bagi mengaburi pihak berkuasa

12:35 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Empat individu dipercayai pemilik syarikat ditahan Jabatan Imigresen kerana memalsukan dokumen dan menggunakan alamat syarikat yang tidak wujud bagi permohonan Rekalibrasi Tenaga Kerja 2.0 (RTK 2.0) serta menggaji pekerja asing tanpa izin.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, menerusi Op Sapu yang dijalankan pihaknya, kegiatan itu ditumpaskan hasil risikan selama 30 hari dan aduan awam.

“Hasil operasi dan siasatan awal mendapati empat warga tempatan terdiri seorang wanita dan tiga lelaki dipercayai pemilik syarikat telah memalsukan beberapa dokumen permohonan dan mengemukakan alamat syarikat yang mengelirukan serta sengaja didaftarkan bagi mengaburi pihak berkuasa.

“Tindakan tersebut adalah bertujuan mendapatkan kelulusan permohonan ratusan kuota untuk pekerja warga asing yang memohon melalui syarikat mereka dalam Program RTK 2.0.

“Keempat-empat mereka telah ditahan bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 56(1)(k), Akta Imigresen 1959/63 iaitu cubaan memperoleh untuk diri orang lain (pekerja warga asing) suatu pas dengan memberi kenyataan palsu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, pesalah boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM30,000 dan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih enam sebatan.

Dalam pada itu Wan Mohammed Saupee berkata, dalam operasi berasingan, pihaknya menahan 15 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia yang didapati digaji secara haram sebagai pekerja perkhidmatan pembersihan di sebuah sekolah sukan ternama di Bukit Jalil.

“Pihak penguat kuasa telah mengeluarkan dua saman kepada wakil sekolah sukan berkenaan untuk diambil keterangan lanjut berikutan tangkapan terbabit.

“Kesemua 15 Pati itu membabitkan 10 wanita dan lima lelaki ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil (DIBJ) bagi siasatan lanjut mengikut Seksyen 6(1)(c) iaitu tidak mempunyai pas atau permit sah serta Seksyen 15(1)(c), Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang dibenarkan.

“Jika disabitkan kesalahan boleh dihukum denda tidak lebih daripada RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali dan boleh dikenakan tidak lebih daripada enam sebatan,” katanya.

Beliau berkata, semua majikan perlulah bertanggungjawab bagi memastikan semua dokumen yang dikemukakan semasa permohonan adalah tulen dan diperoleh daripada agensi pengeluar dokumen dan bukan melalui ejen atau pihak ketiga.

“Pemilik atau operator premis dan majikan juga diingatkan dengan tegas bahawa melindungi Pati dengan membenarkan mereka berada di dalam premis juga adalah suatu kesalahan apatah lagi menggajikan mereka,” katanya. – 16 Mac, 2024

Topics

 

Hangat

Spotify hikes Premium subscription fees by RM1 to RM3 in Malaysia

Subscribers will face higher monthly payments across all Premium plans, effective from September

Government to roll out targeted RON95 subsidy using IC-based verification

Tech-driven mechanism aims to curb misuse and ensure only deserving Malaysians benefit from subsidised fuel

Malaysian fighter pilots push boundaries beyond US Navy peers, says ex-American aviator

While America uses both defensive and offensive stances, Malaysia focuses primarily on the defensive

Related