HEADLINES

Konsep ‘puasa sebulan, raya sebulan’ tidak betul

Ada dalam kalangan pengguna yang berlumba-lumba mempamerkan koleksi terbaru raya berbanding meningkatkan ukhuwah

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Konsep puasa sebulan, raya juga harus dirai dan disambut selama sebulan adalah tidak betul.

Demikian ditegaskan Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Mohamad Fazli Sabri yang melihat konsep sedemikian, jika diterima pakai, tidak hairanlah masyarakat khususnya pengguna Islam akan berdepan situasi ‘berbelanja berlebihan’.

Bercakap kepada Scoop, menurut beliau, sepatutnya masyarakat lebih bijak dan berhemah berbelanja terutama dalam situasi ekonomi semasa (peningkatan kos sara hidup) dan mengamalkan kesederhanaan dalam menyambut Syawal.

“Perkara yang perlu diberi perhatian ialah elakkan diri daripada berbelanja berlebihan sehingga membawa kepada masalah bebanan kewangan atau hutang. Apa yang menyedihkan ada dalam kalangan pengguna yang sanggup meminjam atau berhutang semata-mata mahu memenuhi tuntutan nafsu dan emosi untuk belanja raya.

“Malah ada dalam kalangan pengguna yang menggunakan kesempatan ini untuk berlumba-lumba dengan rakan dan jiran bagi mempamerkan koleksi terbaru raya mereka berbanding meningkatkan ukhuwah dan silaturahim.

“Fenomena ini bukanlah sesuatu yang baik dan harus diamalkan saban tahun terutama sekali dalam situasi ekonomi semasa yang menyaksikan peningkatan kos sara hidup. Ramai yang sanggup membuat hutang baru semata-mata ingin memenuhi selera dan nafsu untuk menyambut hari raya,” katanya.

Sambutan Aidilfitri sepatutnya digunakan untuk meningkatkan ukhuwah dan silaturahim bukan berlumba-lumba dengan rakan atau jiran bagi mempamerkan koleksi terbaru raya. – Abdul Razak Latif/Scoop, 12 April, 2024

Beliau yang juga pakar kewangan pengguna berkata, kebanyakan masyarakat lebih mengutamakan perbelanjaan semasa tanpa melihat keperluan dan kepentingan perbelanjaan masa hadapan terutama selepas musim perayaan.

Katanya, dalam persiapan raya, apa yang membimbangkan adalah kumpulan pengguna yang menerima pakai konsep ‘beli dulu, bayar kemudian’ sebagai tabiat berbelanja dengan sanggup meminjam dan berhutang untuk pembelian yang kurang perlu hanya kerana istilah ‘raya’.

Bahananya jelas beliau, adalah pengguna akan menambah beban hutang yang sedia ada dan sekiranya tidak diuruskan secara bijak dan berhemah mereka akan terus terperangkap dengan ‘hutang’.

PENDEKATAN SEDERHANA DALAM BERBELANJA

Mohamad Fazli mengingatkan orang ramai jangan kerana terlalu seronok berbelanja untuk menyambut Hari Raya mereka pada akhirnya menanggung bebanan hutang untuk jangka masa panjang. – Halim Saleh/Scoop, 12 April, 2024

Mohamad Fazli menegaskan, tiada salahnya membuat persiapan dan perbelanjaan untuk meraikan perayaan namun penting mengamalkan kesederhaan dalam berbelanja untuk mengelak diri daripada bebanan hutang.

“Kita tak nak gembira untuk satu ke dua hari tetapi menanggung bebanan hutang jangka masa lama. Bila nak raya, memang perlukan bajet tambahan. Kena bincang bersama pasangan atau ahli keluarga keperluan perbelanjaan musim perayaan. Tentukan berapa bajet persiapan raya pada kali ini. Misalnya RM1,000 ke RM2,000.

“Senaraikan item perbelanjaan misalnya pakaian raya – kalau boleh pakai yang dulu punya apa salahnya. Fokus kepada apa yang perlu sahaja berbanding kehendak,” katanya.

Menurut Dekan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof. Mohamad Fazli Sabri, masyarakat perlu bijak dan berhemah berbelanja terutama dengan peningkatan kos sara hidup. – Gambar Facebook, 12 April, 2024

Beliau berkata, momentum menguruskan perbelanjaan dan kewangan perlu difikirkan bersama sekali gus mengelakkan situasi sengsara selepas raya.

“Perlu lihat semula kedudukan kewangan kita dan keluarga. Analisis ke atas aliran tunai (pendapatan vs perbelanjaan),” katanya.

Beliau turut menitipkan nasihat kepada generasi muda khususnya yang cenderung berbelanja melebihi kemampuan untuk memenuhi trend terkini.

“Mereka ini perlu elakkan cara gaya hidup YOLO – You Only Live Once. Tingkatkan simpanan terutama dana kecemasan. Simpanan untuk pendidikan tinggi dan peningkatan kerjaya serta fikir kaedah bagaimana boleh menjana pendapatan,” katanya. – 12 April, 2024

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Is it costly for small businesses to obtain halal certification?

A restaurant owners’ group agrees it can be, while application guidelines show fee is not high but added costs lie in the process to achieve compliance

Related