Letak calon Melayu bukan perkauman tapi desakan sebahagian pengundi KKB, kata Muhyiddin

Dari segi logiknya, di sini ada 47% Melayu, 30% pengundi Cina, India (18%) dan lima peratus lain-lain termasuk orang asli

10:38 AM MYT

 

KUALA KUBU BAHARU – Perikatan Nasional (PN) menafikan keputusan untuk meletakkan calon Melayu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu adalah bersifat perkauman.

Sebaliknya, kata pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ia adalah daripada desakan sebahagian besar pengundi yang mahu pembangkang memberi peluang kepada calon pemimpin Melayu.

“Dari segi logiknya, di sini ada 47% Melayu, 30% pengundi Cina, India (18%) dan lima peratus lain-lain termasuk orang asli.

“Jika dicongak secara kasar, jika pengundi Melayu keluar lebih 80%, kita menang,” katanya kepada media di pekarangan Pusat Penamaan Calon PRK Kuala Kubu Baharu di sini, hari ini.

Beliau turut yakin isu bebanan kos sara hidup dihadapi rakyat mampu memberi kelebihan modal berkempen kepada calon blok pembangkang.

Ditanya mengenai keyakinan presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Perpaduan akan mempertahankan kerusi itu, Muhyiddin pula sebaliknya menegaskan beliau yakin 110% dengan calon ditampilkan PN.

“110 peratus. Saya boleh kata itu bukan? Tidak mengapa, dia yakin, saya pun yakin.

“Namun penentunya bukan saya atau dia, kerana kami bukan pengundi di sini.

“Yang penting orang yang ada di Kuala Kubu Baharu. Harapan kami supaya semua pengundi keluar menyokong calon PN dan dapat menjadi wakil rakyat di sini,” katanya. – 27 April, 2024


Topics

Hangat

Saya juga manusia, punya hati: Ning Baizura sedih, terguris diri digelar Kristian, keluarga dikritik

Jelas Ning, beliau kecewa kerana daripada satu perkara kecil, ia diperbesarkan segelintir netizen, termasuk menyerang Instagramnya dengan kata-kata hinaan

Syamer Kutty sets sight to surpass Penang FC’s midtable Super League target

Club’s new signing acknowledged expectations were realistic but the winning mentality he developed at JDT remains unchanged 

Friendship fuels coaching alliance: Sang-ryul ready to unite with Sarjit for betterment of Speedy Tigers

Veteran South Korean coach says he would ‘love’ to contribute to the Malaysian hockey team, if Sarjit were to call on his assistance

Related