HEADLINES

Tengku Zafrul gagal fail afidavit betulkan dakwaan Zahid berkait perintah tahanan rumah Najib

Menurut Hakim, Tengku Zafrul bukan pihak dalam permohonan semakan kehakiman Najib, justeru tidak dibenarkan mengemukakan afidavit berhubung perkara itu

4:28 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini menolak permohonan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk memfailkan afidavit bagi memperbetulkan ‘kesilapan fakta’ tertentu dalam afidavit Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mengesahkan keputusan Hakim Datuk Amarjeet Singh kepada pemberita di luar bilik mahkamah, di sini, hari ini.

Menurutnya, Tengku Zafrul tidak dibenarkan mengemukakan afidavit untuk membetulkan dakwaan dalam afidavit yang difailkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid, memandangkan beliau adalah individu bukan pihak dalam prosiding semakan kehakiman memfailkan afidavit.

“Saya membantah permohonan itu (untuk Tengku Zafrul mengemukakan afidavit menjawab permohonan Zahid) kerana beliau (Tengku Zafrul) tidak mewakili mana-mana pihak dalam permohonan semakan kehakiman.

“Hakim menafikan permohonan (Tengku Zafrul) dan berkata jika kebenaran diberikan untuk permohonan semakan kehakiman (Najib), beliau (Tengku Zafrul) dialu-alukan untuk cuba mengemukakan afidavitnya,” tambah Shafee.

Keputusan hari ini dibuat dalam kamar hakim.

Dalam mesej kepada media, Peguam Kanan Persekutuan, Shamsul Bolhassan, yang hadir mewakili Jabatan Peguam Negara (AGC) bersama Ahmad Hanir Hambaly, memaklumkan bahawa AGC tidak membantah permohonan Zafrul.

Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, memohon kebenaran memfailkan afidavit bagi memperbetulkan fakta didakwa tidak tepat dalam afidavit Zahid Hamidi berkaitan Titah Adendum dalam kes pengampunan Najib.

Zahid juga mendakwa salinan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu mempunyai meterai dan tandatangan Yang di-Pertuan Agong ke-16 supaya Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah.

Zafrul dalam maklum balasnya pada 22 April lalu menyatakan hasrat untuk memfailkan afidavit sendiri bagi memperbetulkan fakta tidak tepat dalam afidavit Zahid.

Media sebelum ini melaporkan ‘saksi kritikal’ yang mengikrarkan afidavit bagi menyokong permohonan Najib untuk mendapatkan kebenaran semakan kehakiman mencabar kewujudan Titah Adendum itu, disahkan ialah Zahid.

Najib, 70, memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi di sini pada 1 April menerusi Tetuan Shafee & Co.

Dalam permohonan itu, Najib menamakan Menteri Dalam Negeri, Komisioner Jeneral Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu memohon perintah supaya semua responden atau seorang daripada mereka diarah untuk menjawab dan mengesahkan kewujudan Titah Adendum bertarikh 29 Januari lalu.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International Sdn Bhd.

Beliau kemudian memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan keputusan pengampunan itu, hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda pula dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – 2 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Related