HEADLINES

Anwar nafi khabar angin ada kapal ZIM Israel berlabuh di Malaysia

Perdana Menteri berkata, Dr Mahathir adalah individu yang membenarkan kapal rejim Zionis itu berlabuh di negara ini sejak 2002, tetapi kerajaan PH mengharamkannya

2:46 PM MYT

 

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan khabar angin bahawa syarikat perkapalan Israel, ZIM berlabuh di Malaysia.

Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah individu yang membenarkan kapal rejim Zionis, berlabuh di negara ini sejak 2002.

Katanya, kerajaan Pakatan Harapan (PH) diterajui beliau yang bertindak mengharamkan kapal berkenaan berlabuh.

“Individu membenarkannya (kapal berlabuh) ialah Tun Mahathir pada 2002 dan ia berterusan, hingga kerajaan kita (PH) mengharamkannya. Itulah pendirian kami,” katanya.

Anwar berkata demikian selepas melancarkan Strategi Antirasuah Nasional 2024-2028 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, hari ini.

Kerajaan pimpinan Anwar mengharamkan semua kapal kargo Israel daripada berlabuh di pelabuhan negara ini sejak tahun lalu, sebagai tindak balas serangan dilakukan Israel ke atas Gaza.

Pada 20 Disember lalu, Anwar mengumumkan pelaksanaan sekatan maritim terhadap kapal mempunyai kaitan dengan Israel, khususnya ZIM yang dikenali sebagai syarikat perkapalan terbesar di Israel.

Keputusan ini dibuat ketika situasi kebimbangan yang semakin meningkat mengenai larangan ke atas perkapalan global akibat serangan ke atas kapal kargo di Laut Merah.

Minggu lalu, dilaporkan sebuah kapal kargo milik syarikat Israel didakwa meninggalkan Malaysia, kurang lima bulan selepas larangan itu.

Laporan mengatakan, berdasarkan aplikasi penjejak pergerakan perkapalan global, Marine Traffic, kapal kargo ZIM Rotterdam yang diuruskan Zim Integrated Shipping Services, berlabuh di Pelabuhan Klang pada 29 April.

Ia berlepas pada keesokan harinya menuju ke Pelabuhan Shantou, China.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pengurusan pelabuhan akan diberi amaran apabila membenarkan kontena dimiliki ZIM keluar dari pekarangan pelabuhan itu, tanpa kebenaran.

Ia selepas video sebuah lori kontena yang tertera logo ZIM, memandu di lebuh raya dipercayai berada di Malaysia tular di media sosial.

Mengesahkan kejadian itu, Loke berkata, walaupun kerajaan melarang kapal ZIM berlabuh di Malaysia, syarikat perkapalan berkenaan masih mempunyai kontena yang disimpan di beberapa pelabuhan di negara ini ketika operasi sebelumnya.

Beliau juga berkata, hanya kira-kira empat atau lima kontena ZIM masih berada di Malaysia, selepas kira-kira 4,000 kontena milik syarikat itu direkodkan di negara ini pada Disember lalu.

Pada 20 Disember, Anwar mengumumkan bahawa ZIM tidak lagi dibenarkan berlabuh di Malaysia.

Kabinet pada tahun 2002 pertama kali membenarkan kapal milik Israel berlabuh di Malaysia, dengan langkah itu disokong Jemaah Menteri pada tahun 2005. – 7 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Roslin Hashim embarks on three-year mission to boost Egyptian badminton ahead of 2028 Olympics

Former national player aims to boost Egypt’s badminton standards, with a focus on the 2028 Los Angeles Olympic Games

Amarjit Singh elected UCI vice-president, a first for the nation

Cycling chief vows to strengthen Asia’s voice in global sport after historic win in Kigali

PM bakal rombak Kabinet Disember ini? Nama KJ dikaitkan bakal isi jawatan menteri

Khairy Jamaluddin, Johari Abdul Ghani, Ramanan antara yang dikaitkan akan terlibat dalam rombakan Kabinet

Related