HEADLINES

PM jumpa pemimpin utama Hamas, Ismail Haniyeh di Qatar

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menegaskan Malaysia komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, Gaza

9:18 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Di sebalik jadual kerja yang padat di Qatar, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengambil kesempatan bertemu pemimpin kanan Hamas, Ismail Haniyeh dan merakamkan takziah di atas kematian tiga anaknya akibat terkena bedilan Israel.

Dalam pertemuan itu, Anwar turut menerima taklimat terkini situasi di Gaza dan Rafah.

“Saya mengambil kesempatan bertemu delegasi Hamas yang diketuai pimpinan utamanya, Ismail Haniyeh seraya diapit oleh mantan pengerusi Khaled Mashal.

“Selain menzahirkan ucapan takziah atas pemergian ahli keluarga Ismail yang terkorban dalam pengeboman kejam rejim Zionis, saya menerima taklimat terkini situasi getir di Gaza dan Rafah yang semakin menggusarkan,’’ katanya menerusi catatan di Facebook beliau hari ini.

Pada 11 April lalu, tiga anak Ismail iaitu Hazem, Amir dan Mohammed serta cucunya terkorban dalam serangan udara Israel di Gaza, ketika mereka melawat kem pelarian Shati, dengan kereta.

Menurut Anwar, sejak konflik Israel-Palestin meletus lapan bulan lalu, ratusan ribu rakyat Palestin terkorban dan cedera dengan separuh dari bumi Gaza dilanda kemusnahan kekal, akibat kekejaman rejim Zionis.

Dalam pertemuan itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Malaysia kekal komited memainkan peranan di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, Gaza. – Gambar Pejabat Perdana Menteri, 14 Mei, 2024

“Saya tegaskan Malaysia akan terus komited memainkan peranannya di peringkat antarabangsa bagi menghentikan serangan ke atas Rafah, sementelahan menggerakkan ikhtiar yang lebih tangkas bagi membantu mangsa peperangan Gaza khususnya dalam aspek bantuan kemanusiaan, perubatan dan pendidikan.

“Malaysia hargai kesediaan Hamas membebaskan tahanan khususnya kanak-kanak dan wanita serta menerima pelan damai dunia Arab, OIC, dan masyarakat antarabangsa,’’ katanya.

Dalam masa sama, Anwar berkata, Malaysia mendesak Israel menghentikan pembantaian ke atas rakyat Palestin, membebaskan semua tahanan rakyat Palestin dan bersetuju dengan pelan perdamaian. – 14 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Malaysia’s medal tally takes a dent after key sports excluded from Glasgow Commonwealth

OCM accepts decision of badminton and squash, among others, being axed from 2026 Games as organisers plan for a leaner, more financially sustainable event

US returns over US$1.37b in stolen 1MDB assets to Malaysia: Azalina

While Malaysia celebrates the return of US$1.37b in misappropriated 1MDB assets from the US, Law Minister Datuk Seri Azalina Othman Said reveals that the final tally of recovered wealth remains a moving target due to market fluctuations and complex, ongoing global court battles

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

Related