HEADLINES

Serangan Ulu Tiram: Ami, kau buat kami sedih… terima kasih sebab jadi anak baik: Kakak

Entan turut meminta orang ramai agar menitipkan doa buat arwah adiknya itu

6:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemergian Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar yang maut diserang di Balai Polis Ulu Tiram di Johor Bahru, pagi tadi masih mengejutkan keluarganya.

Menerusi perkongsian kakaknya yang hanya dikenali sebagai Entan di Instagram, Fahmi atau lebih mesra disapa Ami digambarkan sebagai seorang anak yang baik.

“Ami (Fahmi), kau buat kami sedih. Kenapa pergi Ami? Al-Fatihah. Terima kasih sebab jadi anak baik,” katanya.

Pada masa sama, Entan turut meminta orang ramai agar menitipkan doa buat arwah adiknya itu.

“Kuatkan kami sekeluarga hadapi ujian ini ya Allah. Mohon sedekahkan Al-Fatihah untuk arwah adik saya. Inna Lillahi Wa Inna Ilayhi Rajiun,” katanya.

Dalam hantaran tersebut, Entan turut mengesahkan berita kematian adiknya dalam kes serangan itu.

“Dukacita dimaklumkan bahawa adik saya Ahmad Azza Fahmi telah meninggal dunia pagi ini.

“Mana-mana ada kisah kau Mi. Ya Allah tak kuat kami ni Mi,” katanya.

Difahamkan, Fahmi baru berkhidmat lebih kurang dua tahun bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan bertugas di unit ronda cegah jenayah di balai polis tersebut.

Terdahulu, Scoop melaporkan, Fahmi dan seorang lagi rakan setugasnya, Konstabel Muhamad Shafiq Ahmad Said maut dalam serangan pada jam 2.54 pagi tadi.

Suspek yang bertopeng, berpakaian gelap dan bersenjatakan parang ketika menceroboh masuk balai polis berkenaan pula ditembak mati di lokasi.

Dua anggota polis dan suspek yang maut dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), manakala seorang lagi anggota polis yang mengalami kecederaan dirawat di hospital sama.

Difahamkan, suspek terlebih dahulu menyerang dua anggota polis bertugas dan merampas dua laras senjata.

Dia kemudian melepaskan dua das tembakan terhadap seorang anggota yang menyebabkan kecederaan pada bahu serta perut dan seorang lagi anggota ditetak pada belakang leher dan kepala.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain turut mengesahkan suspek yang menyerang balai polis tersebut sebagai anggota kumpulan Jemaah Islamiyah (JI).

Katanya, polis kemudian menyerbu rumah keluarga lelaki berkenaan di Ulu Tiram dan pemeriksaan mendapati ada beberapa maklumat berkait kumpulan JI di kediaman berkenaan. – 17 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related