HEADLINES

Serangan balai polis: Bapa Konstabel Ahmad Azza Fahmi reda, tak halang anak lain jadi polis

Bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi, Azhar Khaiden mendapat panggilan mengenai kejadian yang menimpa anaknya itu pada jam 2.53 pagi sebelum bergegas ke Johor Bahru

12:00 AM MYT

 

JOHOR BAHRU – Bapa Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi, Azhar Khaiden, tidak akan menghalang anaknya yang lain untuk menjadi anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) meskipun seorang daripada mereka telah terkorban ketika bertugas.

Azhar, 54, guru di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Kelah, Sungkai, Perak berkata dia reda dengan kejadian yang menimpa anak keempatnya daripada lapan beradik itu.

“Dia anak yang baik dan memang mahu jadi seorang anggota polis sejak kecil. Saya tidak terkilan kerana abangnya juga seorang polis di Sabah, adik perempuannya pula akan hadir temu duga polis pada Isnin ini. Semoga si adik akan menggantikan tempat abangnya suatu hari nanti.

“Kalau kita menangis keluar air mata darah sekalipun, yang pergi tetap pergi dan yang masih ada perlu teruskan kehidupan, semua kita ini milik Allah,” katanya kepada pemberita di pekarangan Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Sultan Ismail di sini hari ini.

Guru mata bagi subjek matematik dan sejarah itu berkata dia mendapat panggilan mengenai kejadian yang menimpa Ahmad Azza Fahmi, 22, pada 2.53 pagi sebelum bergegas ke Johor Bahru.

“Pihak berkuasa ada undang-undang dan saya serahkan perkara ini kepada Yang Maha Esa, sedih yang saya rasakan hanya simpan di dalam hati, di luar mungkin tidak nampak. Kenangan yang ada bersamanya akan terus abadi namun naluri seorang bapa, apabila anak jadi seperti ini pastinya sedih,” katanya.

Azhar berkata kali terakhir dia bertemu Ahmad Azza Fahmi ialah pada Ramadan lepas ketika anaknya itu pulang ke rumah mereka di Perak.

“Ketika Aidilfitri, dia tidak dapat bercuti kerana perlu bertugas, kita faham dia orang baharu dan waktu cuti lima hari pada Ramadan, Arwah dapat meluangkan masa bersama keluarga di rumah. 

“Waktu bertemu, dia tidak menunjukkan apa-apa perubahan, malam semalam kami berbual seperti biasa di dalam kumpulan WhatsApp ahli keluarga, jadi agak terkejut terima berita ini pagi tadi secara tiba-tiba,” katanya sambil menambah jenazah Ahmad Azza Fahmi dikebumikan di Kampung Poh, Bidor esok.

Terdahulu, Azhar tiba bersama isteri, Nurhaliza Awaluddin, serta beberapa anaknya di pekarangan Jabatan Forensik pada 6.45 petang.

Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said maut manakala seorang lagi rakan mereka cedera dalam kejadian serangan di Balai Polis Ulu Tiram pada 2.45 pagi.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan suspek lelaki yang ditembak mati dalam insiden itu dipercayai ahli Jemaah Islamiyah. – 17 Mei, 2024

Topics

 

Hangat

Can Mutiara LRT line transform Penang’s transport, economy? Here’s an explainer

The RM13bil endeavour aims to tackle congestion, enhance connectivity, and spark economic growth across the island

Malaysian teen made RM76,000 selling child porn as police bust major online abuse ring

Authorities arrest 31 suspects, including six minors and a religious teacher, in nationwide Op Pedo 2.0 raids that uncovered 880,000 exploitative files

Amarjit Singh elected UCI vice-president, a first for the nation

Cycling chief vows to strengthen Asia’s voice in global sport after historic win in Kigali

Related