HEADLINES

Pemandu diserang sawan langgar tiang lobi hospital

Perlanggaran itu menyebabkan pemandu tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah.

10:40 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki secara tiba-tiba diserang sawan sehingga kereta sedang dipandunya hilang kawalan, sebelum terbabas dan merempuh tiang batu lobi Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar dalam kejadian malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, kejadian pada jam 10.11 malam itu berlaku ketika lelaki terbabit bersama rakannya dalam perjalanan dari Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru ke hospital pakar berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu kereta jenis Proton Saga 1.3 itu mengalami sawan.

“Keadaan itu menyebabkan kereta dipandu pekerja syarikat pembekalan barang ortopedik hospital berusia 30 tahun terbabit, hilang kawalan hingga terbabas melanggar tiang tembok batu di hadapan Jabatan X-ray hospital berkenaan,” katanya seperti dilaporkan media.

Raiz Mukhliz berkata, perlanggaran itu menyebabkan mangsa tidak sedarkan diri dan dirawat di zon merah.

Menurutnya, rakan pemandu itu yang berumur 28 tahun dirawat di zon kuning akibat sakit dada.

Kes itu, katanya, disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Difahamkan, pemandu berkenaan beralamat di Seksyen 8, Shah Alam Selangor, manakala rakannya di Kampung Batu Belah, Klang.

Kejadian itu turut dikongsikan di beberapa akaun media sosial dan tular yang mengejutkan masyarakat.

Video kemalangan berkenaan yang dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kenderaan, menunjukkan kereta terbabit meluncur laju sebelum merempuh tiang batu itu.

Kedengaran suara terkejut wanita dipercayai orang awam yang melihat kejadian itu.

“Hei ya Allah, kenapa dia langgar, ada orang tak,” kata individu terbabit.

Malah, difahamkan, kejadian itu mengakibatkan kerosakan pada tiang bangunan hospital.

Ia turut menyebabkan kerosakan perancah (scaffolding) kerja pembaikan kerangka bumbung dan cat siling di lobi berkenaan. – 8 Jun, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related