HEADLINES

Wajibkan artis tempatan dalam konsert artis antarabangsa, ‘itu cara bantu mereka’: Music Malaysia

Muzik Malaysia turut meminta kerajaan bertindak serius terhadap penganjur konsert yang banyak menggunakan tenaga luar

10:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu mengetatkan syarat penganjuran konsert melibatkan artis antarabangsa dengan mewajibkan penglibatan artis tempatan dalam konsert mereka.

Bercakap kepada Scoop, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Muzik Tanahair (Music Malaysia), Ayob Abdul Majib berkata, penglibatan artis tempatan akan membuka ruang kepada mereka untuk beraksi di pentas antarabangsa.

Justeru, katanya, Agensi Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) perlu mempertimbangkan perkara itu.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Muzik Tanahair (Music Malaysia), Ayob Abdul Majib berkata, penglibatan artis tempatan akan membuka ruang kepada mereka untuk beraksi di pentas antarabangsa – Gambar Facebook Ayob Abd Majid, 22 Jun, 2024

“Menerusi pengalaman yang dirasai, mereka akan dapat belajar bagaimana artis luar berinteraksi serta menghiburkan peminat selain mengasah bakat dan kemahiran serta membina keyakinan diri.

“Kami amat berharap Puspal dapat memperhalusi kawalan ini kepada penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini,’’ katanya.

Ayob yang juga Presiden Konsortium Industri Rakaman Muzik Malaysia (Irama) membangkitkan isu itu apabila melihat ketiadaan artis tempatan dalam Konsert Alan Walker – Walkerworld Tour 2024 anjuran Megatix yang dijadualkan hari ini.

Bagaimanapun Alan menerusi Instagramnya memaklumkan konsert berkenaan ditunda ke tarikh lain. Tiada sebab diberikan di atas penundaan konsert terbabit.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku kerana sejak bertahun-tahun kebelakangan ini, penglibatan artis tempatan sebagai artis undangan sudah pun dipratikkan.

Konsert Alan Walker – Walkerworld Tour 2024 yang bakal berlangsung malam ini mempunyai tiga artis undangan tetapi tidak ada satu pun artis tempatan – Gambar laman web Megatix, 22 Jun, 2024

“Kita faham Alan Walker sendiri mempunyai tiga artis undangan yang bakal beraksi dalam konsert tersebut tetapi penglibatan artis tempatan sebagai artis undangan perlu ada. Setidak-tidaknya sebelum Alan Walker muncul dan memulakan konsertnya,” katanya.

Jelas Ayob, dia juga berharap penganjur acara tempatan yang menganjurkan sesebuah konsert antarabangsa khususnya akan lebih prihatin dan peka mengenai isu ini.

“Mahu tidak mahu mereka perlu perjuangkan penglibatan artis tempatan dalam konsert artis antarabangsa yang mereka anjurkan.

“Barulah nampak semangat nasionalisme atau semangat patriotik dalam diri mereka. Janganlah sekadar menyebut mahu memperjuangkan muzik Malaysia atau artis Malaysia tetapi pada masa yang sama tidak membantu,’’ katanya.

Ayob turut meluahkan kekesalan apabila ada penganjur konsert yang memilih untuk menggunakan tenaga kerja dari luar.

“Perkara ini semakin menjadi-jadi dan berleluasa, seolah-olah sudah tiada sekatan langsung,’’ katanya. – 22 Jun, 2024

Topics

 

Popular

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

[WATCH] GP fee hike may finally end clinic medicine markups: Dr Thirunavukarasu

Malaysian Medical Association president says decades of suppressed consultation rates forced clinics to rely on medicine sales — but warns patients will still bear rising healthcare costs despite long-overdue reforms

Right-wing commentator Ian Miles Cheong under police scrutiny

According to authorities, investigation focuses on alleged social media posts that could incite public unrest

Related