HEADLINES

Wanita ditahan bantu siasatan kes buli pempengaruh media sosial

Wanita terbabit kini direman tiga hari sehingga Rabu ini. Polis juga sedang giat mengesan seorang lagi pengguna TikTok yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut

5:51 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang wanita berusia 35 tahun ditahan bagi membantu siasatan kes ugutan terhadap seorang pempengaruh media sosial melalui hantaran di aplikasi TikTok, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Sentul, Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, wanita warga tempatan itu ditahan di Rawang, Selangor pada jam 1.45 pagi tadi.

Menurutnya, tangkapan itu dilakukan susulan aduan diterima daripada seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun pada jam 4.13 petang kelmarin.

“Pengadu yang juga pengikut akaun TikTok mangsa ketika berada di Lorong Kolam Air 8, Jalan Ipoh, Kuala Lumpur terlihat dua hantaran melalui dua pengguna TikTok mengeluarkan kenyataan fitnah dan ugutan terhadap mangsa.

“Kedua-dua akaun TikTok itu menggunakan gambar mangsa sebagai latar belakang kandungan video yang dimuat naik ke akaun masing-masing.

“Siasatan polis mendapati, kejadian itu berlaku jam 10.15 malam pada 30 Jun lalu dan jam 4.10 pagi pada 1 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kandungan hantaran itu juga mengandungi kata ugutan dan ancaman terhadap mangsa serta turut menggunakan kata-kata kesat dan lucah.

“Pengadu dalam kes ini sudah menunjukkan kepada polis tangkap layar kedua-dua hantaran di TikTok berkenaan.

“Bagaimanapun, hasil semakan polis mendapati dua hantaran itu disyaki sudah dipadam oleh kedua-dua pemilik akaun TikTok berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Sukarno berkata, wanita terbabit kini direman tiga hari sehingga Rabu ini.

Katanya, polis juga sedang giat mengesan seorang lagi pengguna TikTok yang dipercayai terlibat dalam kes tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan (ugutan jenayah), Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998 (menyebarkan kenyataan jelik) dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil (kelakuan aib).

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung insiden ini boleh menghubungi pegawai penyiasat Inspektor K Kumaran di talian 010-9093726 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di talian 03-40482222,” katanya.

Semalam, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dilaporkan berkata, isu buli siber di platform media sosial akan dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet Jumaat depan bagi mencari penyelesaian terbaik termasuk aspek perundangan dan penguatkuasaan.

Beliau berkata, pembentangan itu diminta sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan ia juga akan menyentuh laporan berhubung insiden melibatkan seorang pempengaruh di aplikasi TikTok yang didakwa membunuh diri kerana tertekan akibat buli siber.

Mayat pempengaruh wanita berusia 29 itu ditemui di rumahnya kira-kira jam 11 pagi, Jumaat lalu. – 8 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Jho Low is now ‘Constantinos Achilles’, lives luxuriously in Shanghai: US reporters

The former playboy financier linked to 1MDB scandal is allegedly using a fake Aussie passport to move around China

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Brunei’s DPMM FC returns as invited team for 2025–26 Super League season

MFL confirms DPMM FC’s participation with FIFA approval as 14 clubs line up for new season under stricter financial rules

Related