HEADLINES

Keputusan saringan kesihatan tidak patut halang seseorang jadi wakil rakyat

Mewajibkan saringan kesihatan ke atas Ahli Parlimen adalah arahan yang bagus, namun jika keputusan yang diterima tidak memuaskan ia tidak patut mendorong wakil rakyat tersebut diberhentikan kerja

2:39 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan saringan kesihatan seseorang itu tidak seharusnya dijadikan syarat bagi menghalang mana-mana individu daripada berkhidmat sebagai wakil rakyat.

Geostrategis dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Profesor Madya Azmi Hassan ketika dihubungi Scoop berkata, meskipun beliau bersetuju saringan kesihatan diwajibkan ke atas Ahli Parlimen, namun ia tidak boleh menyekat mereka daripada menjalankan tugas.

“Memang betul untuk menjadi wakil rakyat, mereka perlu ada tahap kesihatan yang baik tapi kita tidak boleh menyekat mereka menjadi Ahli Parlimen atas alasan masalah kesihatan. Itu tidak boleh.

“Sebaiknya seseorang yang bertanding dalam pilihan raya perlu melakukan saringan kesihatan. Jika tahap kesihatan mereka tidak baik maka fokuslah kepada usaha memulihkan diri dulu.

“Namun ia tidak boleh dijadikan sebagai alasan untuk mereka dilarang daripada melakukan kerja sebagai wakil rakyat atau berhenti daripada jawatan berkenaan,’’ katanya.

Meskipun bersetuju saringan kesihatan diwajibkan ke atas Ahli Parlimen, namun Profesor Madya Azmi Hassan berkata, sebarang keputusan tidak boleh menyekat mereka daripada menjalankan tugas. – Gambar Bernama, 19 Julai, 2024

Pada 17 Julai lalu, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, semua Ahli Parlimen diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan selewat-lewatnya pada 11 November 2024.

Menurut Johari, mana-mana Ahli Parlimen yang gagal berbuat demikian, nama mereka akan dipaparkan di laman web Parlimen.

Pada 10 Julai lalu, sidang Dewan Rakyat terganggu apabila Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dilihat mengalami sesak nafas ketika memulakan sesi jawapan lisan soalan.

Beliau kelihatan tidak selesa ketika mula bercakap dan tercungap-cungap seterus memohon diberikan sedikit masa untuk menenangkan diri.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub, 61, pula meninggal dunia pada Julai 2023 selepas ditidurkan susulan pembedahan akibat pendarahan otak.

Allahyarham ketika itu adalah Ahli Parlimen Pulai yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Simpang Jeram.

Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh menggalakkan Ahli Parlimen menjalani pemeriksaan saringan kesihatan enam bulan sekali bagi memastikan kesihatan berada pada tahap terbaik. – Gambar Bernama, 19 Julai, 2024

Dalam pada itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, pemeriksaan saringan kesihatan digalakkan dalam tempoh enam bulan sekali bagi memastikan kesihatan berada pada tahap yang baik.

Langkah itu, katanya, wajar diambil memandangkan kesibukan kerja menyebakan sesetengah daripada wakil rakyat itu kurang menitikberat isu kesihatan masing-masing.

“Seperti yang kita tahu tugas Ahli Parlimen ini agak berat, mereka banyak mesyuarat dan perjumpaan dengan orang ramai. Keadaan ini boleh menyumbang kepada keadaan kerja yang memberikan tekanan serta kekurangan tidur,’’ katanya.

Bagaimanapun ujar Dr Sharifa Ezat, saringan pemeriksaan kesihatan ini tidak sepatutnya terhad kepada Ahli Parlimen sebaliknya perlu dilaksanakan ke atas kepada badan beruniform, guru dan sektor pekerjaan yang terlibat dalam persekitaran tekanan kerja yang tinggi.

“Mereka juga disarankan untuk mengamalkan gaya hidup sihat seperti tidak merokok atau vape, mengurangkan pengambilan gula dan sentiasa bersenam,’’ katanya. – 19 Julai, 2024

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related