HEADLINES

Peniaga Jalan Masjid India terkesan, bilangan pengunjung merosot hingga 70% kata MIGJA

'Kawasan ini dulu meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk pelancong dari luar negara tetapi kini ia memang sunyi sepi, lebih-lebih lagi pada hari bekerja Isnin hingga Jumaat,' kata presiden MIGJA

9:00 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Meskipun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengisytihar Jalan Masjid India selamat namun ia tidak berupaya meyakinkan pengunjung untuk membeli-belah di kawasan berkenaan.

Bercakap kepada Scoop, Presiden Persatuan Tukang Emas dan Berlian India Malaysia (MIGJA), Datuk Abd Rasull Abd Razak berkata, keadaan di situ masih sunyi malah bilangan pengunjung berkurang hampir 70%.

Katanya, boleh dianggarkan 30% sahaja yang berkunjung ke situ, itu pun pada cuti hujung minggu sahaja.

“Kawasan ini dulu meriah dengan kehadiran orang ramai termasuk pelancong dari luar negara tetapi kini ia memang sunyi sepi, lebih-lebih lagi pada hari bekerja Isnin hingga Jumaat.

“Apabila ditanya kepada orang ramai, mereka akui masih lagi terkesan dengan insiden tersebut.

“Perkara ini sekali gus membuatkan pendapatan peniaga di sini terjejas termasuk juga pengusaha kedai emas,” katanya ketika dihubungi.

Jalan Masjid India sebelum ini dikejutkan dengan insiden seorang wanita warganegara India yang terjatuh ke lubang benam sedalam lapan meter.

Dalam kejadian pada 23 Ogos itu, wanita yang dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, dari Andhra Pradesh, India, hilang semasa melalui jalan itu untuk ke kuil berhampiran.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat diaktifkan pada hari sama melibatkan anggota pasukan keselamatan dan pihak berkuasa tempatan yang telah menggunakan pelbagai teknik termasuk kaedah jetting, flushing dan menyedut air keluar dari lokasi kejadian, dalam usaha mengesan mangsa.

Bagaimanapun selepas SAR dijalankan selama sembilan hari, ia tidak berhasil menemukan mangsa menyebabkan operasi berkenaan dihentikan pada 31 Ogos lalu selepas pihak berkuasa mengambil kira pelbagai faktor termasuk keselamatan anggota pasukan penyelamat.

Pada September lalu, DBKL menerusi satu kenyataan memaklumkan Pasukan Petugas Khas Insiden Tanah Jerlus Masjid India mendapati bangunan dan kawasan di Jalan Masjid India adalah selamat untuk dikunjungi.

Kenyataan itu memaklumkan, menerusi mesyuarat yang dipengerusikan Pengarah Eksekutif Pengurusan Projek DBKL, Mohamad Hamim, semua agensi telah melaporkan hasil dapatan masing-masing.

“Berdasarkan laporan tersebut, didapati bahawa kejadian tanah jerlus adalah bersifat setempat,” katanya. – 18 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Amarjit Singh elected UCI vice-president, a first for the nation

Cycling chief vows to strengthen Asia’s voice in global sport after historic win in Kigali

Is hibah still a safe option if courts can reverse it?

After court overturned a RM1 million takaful hibah, sparking confusion and concern among policyholders and the public, experts stress that it remains relevant if done properly

PDRM and MCMC join forces to dismantle drug-laced vape syndicates

Authorities ramp up cyber patrols and enforcement as youth-targeting networks exploit social media and encrypted platforms

Related