HEADLINES

Lantik Peguam Negara dalam kalangan ahli Parlimen: Zaid

Pejabat Pendakwa Raya juga perlu dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara agar menjadi unit yang bebas dan dibiayai secara berasingan

1:04 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan dicadang melantik Peguam Negara (AG) yang juga Pendakwa Raya dalam kalangan ahli Parlimen seperti dilakukan di England.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Mohd Zaid Ibrahim berkata, cadangan tersebut adalah satu-satunya cara untuk memastikan peguam negara bertanggungjawab atas keputusan yang dilakukan Pejabat Pendakwa Raya.

“Selain itu, Pejabat Pendakwa Raya juga perlu dipisahkan daripada Jabatan Peguam Negara agar menjadi unit yang bebas dan dibiayai secara berasingan.

“Biarkan ia diuruskan oleh peguam (kerajaan dan swasta) yang kenaikan pangkat dan keselamatan perkhidmatannya tidak bergantung kepada Peguam Negara,” katanya dalam hantaran di media sosialnya hari ini.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan terdapat kelemahan dalam beberapa kes pendakwaan yang dibuat selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) kerana ia dilakukan secara tergesa-gesa.

Perdana Menteri berkata, ia adalah kerana tindakan itu didorong oleh kebencian, permusuhan dan dendam politik oleh mereka yang berkuasa.

Beliau berkata demikian menjawab soalan mengenai kebebasan badan kehakiman susulan pembebasan Datin Seri Rosmah Mansor daripada tuduhan pengubahan wang haram dan kes gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)

Mengulas lanjut, Zaid berkata, perubahan sedemikian akan menamatkan zaman AG berdiam diri dan tidak bertanggungjawab kepada rakyat.

“Ia akan menjadikan Anwar sebagai seorang reformis sebenar dan mungkin membawa kepada kemenangan pilihan raya semula.

“Perdana Menteri harus dipuji atas kenyataannya yang jujur itu. Kini, beliau hanya perlu mengambil beberapa langkah mudah untuk mengelakkan kejadian seperti ini berulang,” katanya.

Sementara itu Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi pula mempersoalkan mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja Tommy Thomas yang dipersetujui Kabinet pada 11 Januari 2023.

“Apa cerita? Dengan komen terbaru PMX mengenai “pendakwaan beracun” sepatutnya Tommy Thomas disiasat.

“Saya mendesak RCI Tommy Thomas sejak 2021 lagi. Banyak benda boleh dikaitkan jika ada salah laku. Buku memoirnya, perlantikan hakim, Batu Puteh dan “pendakwaan beracun”,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada wujud halangan pihak tertentu untuk menubuhkan RCI Tommy.

“Apakah “delay justice” (penangguhan keadilan) mahu dikrompomikan? Harap BERSIH, C4 dan Bar Council jangan bersikap selektif dalam isu “justice”,” katanya.

Pada 11 Januari 2023, Jemaah Menteri bersetuju dengan cadangan penubuhan RCI mengenai dakwaan dalam buku memoir bekas peguam negara Tommy Thomas bertajuk “My Story: Justice In the Wilderness”.

Menteri Undang-Undang, Datuk Seri Azalina Othman Said dalam satu kenyataan berkata, RCI itu bertujuan untuk mencari kebenaran dan mengemukakan syor kepada kerajaan untuk reformasi institusi perundangan negara. – 22 Disember, 2024

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Related