HEADLINES

Zahid ingatkan ahli Umno ‘tanggung risiko sendiri’ jika sertai himpunan solidariti Najib

Zahid turut berharap tidak ada penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan Umno yang terlibat secara rasmi dalam perhimpunan itu

6:44 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan ahli Umno supaya tidak menyertai perhimpunan untuk solidariti kepada Datuk Seri Najib Razak yang dijadualkan berlangsung di Istana Kehakiman di Putrajaya esok.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka yang masih mahu menyertainya perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang dihadapi.

Beliau turut berharap tidak ada penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan Umno yang terlibat dalam himpunan untuk solidariti kepada Najib.

“Kalau (ada) individu (yang hadir ke perhimpunan solidariti itu), kita serahkan kepada mereka untuk mengambil risiko (sendiri).

“Dalam hal itu, kita harap tidak ada penganjur-penganjur daripada mana-mana bahagian atau cawangan (Umno yang turut terlibat secara rasmi di perhimpunan tersebut,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Zahid berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kuali Cafe@Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini hari ini.

Pada 3 Januari lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dusuki berkata, Umno mengambil keputusan untuk tidak meneruskan perhimpunan bagi menyatakan sokongan kepada bekas Perdana Menteri itu.

Parti itu, katanya menghormati kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong untuk menggunakan saluran perundangan yang ditetapkan dengan mengemukakan rayuan terhadap Najib.

Umno juga, katanya, tidak akan sesekali membelakangi Perlembagaan dan tetap menghormati apa jua peraturan dan undang-undang yang ditetapkan sebagaimana Titah Tuanku Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh memberitahu Scoop, beliau akan tetap hadir ke mahkamah esok atas kapasiti peribadi bagi memberikan sokongan kepada Najib, yang juga bekas Presiden Umno.

Sementara itu, Ketua Polis Putrajaya, Aidi Sham Mohamed menerusi kenyataan hari ini berkata tindakan tegas akan diambil ke atas individu yang menyertai perhimpunan berkenaan, kerana ia tidak mendapat kebenaran pemilik tanah sekali gus tidak mematuhi syarat-syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Polis juga, katanya akan mengadakan beberapa sekatan di jalan masuk ke Putrajaya esok serta melaksanakan pemeriksaan ketat.

“Ia bagi memastikan tiada apa-apa senjata, banner, sepanduk yang mengandungi perkataan atau unsur jelik dan hasutan berhubung himpunan itu,’’ katanya.

Mahkamah Rayuan menetapkan esok sebagai tarikh pendengaran rayuan bekas perdana menteri itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Penetapan tarikh itu adalah pendengaran bagi rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Addendum. – 5 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

‘Robbed again’: Johor Orang Asli accuse trustees of misusing RM6mil from land compensation fund

Linggiu Valley community files MACC report, claiming decades-old RM38.5mil trust meant for their families has been abused repeatedly

Govt to develop 102-acre Kota Madani in Putrajaya as model people-first city: PM

First phase to include 3,000 homes and high-rise school by 2027 under integrated urban plan 

Related