HEADLINES

Imam masjid mengaku tidak bersalah terima rasuah urus daftar pasangan nikah di Thailand

Tertuduh didakwa menerima suapan sebanyak RM26,300 sebagai upah menguruskan pendaftaran dengan JAIPs oleh pasangan yang bernikah di Thailand sejak 2022

12:49 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seorang imam masjid di Kangar didakwa di Mahkamah Sesyen atas tujuh tuduhan menerima suapan RM26,300 sebagai upah menguruskan pendaftaran dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) oleh pasangan yang bernikah di Thailand sejak 2022.

Tertuduh, Mohd Isa Abdul Karim, 53, mengaku tidak bersalah dan meminta untuk dibicarakan selepas kesemua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Datuk Nu’aman Mahmud Zuhudi.

Isa didakwa melakukan perbuatan itu pada 5 Disember 2022 5 Disember 2022 hingga 24 Oktober 2023 di sebuah bank di Jalan Besar, Pekan Kuala Perlis, lapor BH Online.

Berdasarkan semua pertuduhan, Isa didakwa sebagai ejen yang menerima suapan wang berjumlah RM26,300 menerusi akaun milik ABM Success Empire sebagai upah memproses Pendaftaran Perkahwinan Luar Negara di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) kepada tujuh pasangan yang tidak mematuhi prosedur mengikut Enakmen 7, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2006.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 Akta yang sama.

Tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Perlis, S Sujatha, manakala tertuduh diwakili peguam bela, Ariff Azami Hussein, Zuhair Ahmad Zakuan dan Mohamad Alif Farhan Mohamad Supian.

Sujatha turut meminta mahkamah mengenakan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, termasuk pasport antarabangsanya diserahkan kepada mahkamah.

Permohonan itu dibuat pendakwaan kerana tertuduh mempunyai seorang isteri warga Thailand dan ada potensi dia boleh berada di luar negara ketika prosiding perbicaraan dijalankan kelak.

Selain itu, Sujatha juga memohon mahkamah memerintahkan tertuduh melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 hari bulan setiap bulan.

Ia bagaimanapun dibantah Ariff yang meminta mahkamah meringankan jaminan kepada RM10,000 memandangkan jumlah dakwaan suapan tidak mencecah sehingga RM30,000.

Selain itu, Ariff juga merayu mahkamah mempertimbangkan anak guamnya yang menanggung seorang isteri dan sembilan anak, dengan enam masih bersekolah.

Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 tetapi mengarahkan Isa menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, selain perlu melapor diri di Pejabat SPRM Perlis sebelum atau pada 15 hari bulan pada setiap bulan.

Tertuduh kemudian membayar wang jaminan diwakili siak masjid tempat tertuduh bertugas. – 15 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Five more suspects arrested in RM4.6 mil Genting casino chip heist

Police have tracked down five local men, including the mastermind of the RM4.6 million casino chips heist at Genting Highlands on October 28, believed to be the largest chips robbery in the highland resort’s history.

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Related