HEADLINES

‘Nak berhimpun, berhimpunlah’ kata Anwar

Namun kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan rasuah, malah tiada masalah rasuah berlaku sepanjang tempoh dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri

4:10 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak ada masalah sekiranya ‘Himpunan Rakyat Benci Rasuah’ diadakan di ibu negara esok, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Namun beliau menekankan bahawa kerajaan tidak bertolak ansur dalam pelakuan rasuah malah tiada masalah rasuah berlaku sepanjang tempoh dua tahun beliau menjadi Perdana Menteri.

“Nak berhimpun, berhimpunlah… kita tidak ada masalah, kebenaran sudah diberikan. Menteri KDN (Menteri Dalam Negeri) sebut kebenaran diberikan, cuma ada tempat-tempat yang tidak beri kebenaran.

“Tapi bagi saya tak ada masalah,buatlah, bantah-bantahlah rasuah.

“Soalnya rasuah yang dibangkit-bangkit ini, yang sekarang saya jadi Perdana Menteri, dua tahun apa dia ada masalah rasuah, ini yang perlu ditumpukan. Dibangkit soal-soal lama, ya sebahagian sudah selesai, sebahagian tak mampu selesai.

“(Bila) Dibangkit soal kehilangan (duit) berbilion-bilion, tak ada pula nak bersuara, tak ada pula sokong malah ada yang pertahankan pulak.

“Kalau kamu orang kaya (mempunyai) berbilion ringgit, ramai penyokong-penyokong pertahankan, sekarang suruh lawan rasuah,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Pusat Islam Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dengkil di Sepang hari ini.

Difahamkan, himpunan itu akan bermula di pusat beli-belah SOGO di sini, pada jam 2.30 petang esok sebelum berarak di sepanjang Jalan Tuanku Abdul Rahman dan berakhir di Dataran Merdeka.

Terdahulu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata polis masih belum menerima notis pemberitahuan yang lengkap bagi penganjuran himpunan berkenaan.

Menurutnya, pihak penganjur himpunan berkenaan perlu mendapatkan kebenaran daripada pemilik tanah iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Katanya, polis sebelum ini meminta penganjur melengkapkan notis pemberitahuan itu kerana tidak disertakan salinan persetujuan pemunya atau penghuni tempat perhimpunan.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, beliau dan kerajaan komited dan tidak akan berkompromi jika ada pimpinan dalam kerajaan yang terlibat rasuah.

“Saya komited, kalau ada mana-mana pimpinan yang terlibat, bagitahu, tidak ada masalah, kita akan tekan mereka, tidak ada masalah.

“Ini juga saya tekankan dalam mesyuarat jemaah menteri, ini kalau nak bangkit soal-soal lama yang ditutup masa mereka, jadi nak suruh saya ambil tindakan, tindakan apa?.

“Ada yang bangkitkan soal Tun Musa (Aman) TYT Sabah, itu dilepaskan masa mereka, masa saya bila SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah ) buka balik fail, dia kata tak boleh teruskan, jadi bagaimana saya nak dihujat dan dikecam dalam soal yang saya tidak terlibat.

“Yang saya terlibat dalam tempoh dua tahun, peringkat rendah tinggi peringkat atas kalau ada (rasuah) saya tidak tolak ansur,” katanya. – 24 Januari, 2025

Topics

 

Hangat

Umno will remain part of Unity govt until GE16: Zahid

Party president says wary of being "bitten by the same snake for the second time" on collaborating with opposition parties

AFC: Australia, South Korea, Kuwait in the running for 2035 Asian Cup

The governing body will review bids for both the 2031 and 2035 Asian Cups, with decisions expected at its annual congress later this year

Pearly Tan ruled out of Uber Cup 2026 with recurring back injury blow

Malaysia’s Uber Cup hopes take a hit as women’s doubles ace Pearly Tan withdraws due to a recurring back injury, forcing a last-minute reshuffle in the national squad

Related