HEADLINES

Mahkamah tolak bantahan awal, bicara kes abai Zayn Rayyan mula petang ini: Hakim

Mahkamah mendapati pertuduhan dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan tidak defektif

2:27 PM MYT

 

PETALING JAYA – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menolak bantahan awal pihak pembelaan yang menyatakan pertuduhan ke atas ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin yang didakwa mengabaikan kanak-kanak autistik itu dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya adalah defektif atau cacat.

Hakim Dr Syahliza Warnoh memutuskan demikian selepas mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Aqharie Durranie Aziz dan peguam Haresh Mahadevan yang mewakili Zaim Ikhwan Zahari serta Ismanira Abdul Manaf.

“Mahkamah telah meneliti bantahan awal tertuduh-tertuduh dan hujahan dikemukakan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah ini mendapati pertuduhan dalam kes ini adalah mengikut undang-undang yang diperuntukkan tidak defektif.

“Mahkamah juga mendapati tiada unsur dalam pertuduhan yang menunjukkan bahawa tertuduh-tertuduh dinafikan pembelaan yang sewajarnya.

“Oleh itu, bantahan awal pihak pembelaan ditolak dan kes ditetapkan perbicaraan pada 2 petang ini,” kata Hakim Syahliza semasa prosiding kes itu.

Perbicaraan dijadualkan bermula pukul 9 pagi tadi, namun ia dilewatkan selepas pembelaaan mengemukakan bantahan awal sebelum prosiding kes itu.

Terdahulu, Aqharie Durranie berhujah bahawa pihak pendakwaan akan membuktikan mangsa (Zayn Rayyan) di bawah jagaan kedua-dua tertuduh dan pengabaian yang menyebabkan kecederaan fizikal akan dibuktikan berdasarkan keterangan-keterangan saksi-saksi (pendakwaan).

“Maka, saya percaya tiada pertuduhan cacat terhadap kedua-dua tertuduh ini,” katanya.

Bagaimanapun, Haresh Mahadevan berkata butir-butir pengabaian dalam pertuduhan yang dihadapi anak guamnya tidak diperincikan dan ia memperjudiskan kedua-dua anak guamnya.

“Kami berhujah bahawa cara atau bagaimana anak guam kami mengabaikan mangsa tidak dinyatakan dalam pertuduhan. Pengabaian itu bagaimana?.

“Membenarkan kanak-kanak itu melarikan diri atau membiarkannya di satu tempat tanpa pengawasan orang dewasa?. Ini adalah inti pati yang sepatutnya ada dalam pertuduhan pengabaian,” kata peguam itu.

Aqharie Durranie kemudian menjawab bahawa pada peringkat ini, tidak perlu memasukkan cara pengabaian dilakukan dalam pertuduhan yang dihadapi kedua-dua tertuduh.

Pada 13 Jun 2024, Zaim Ikhwan dan Ismanira, kedua-duanya berumur 30 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas satu pertuduhan mengabaikan kanak-kanak autistik berusia enam tahun itu, dengan cara kemungkinan menyebabkan kecederaan fizikal terhadapnya di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada 12 tengah hari 5 Dis hingga 9.55 malam 6 Dis 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 31 (1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, mayat Zayn Rayyan ditemukan di aliran anak sungai berhampiran rumahnya di Apartment Idaman, Damansara Damai dekat sini selepas dilaporkan hilang sehari sebelumnya.

Kanak-kanak itu dipercayai dibunuh apabila hasil bedah siasat menemukan kesan kecederaan pada leher serta badannya akibat mempertahankan diri. – 3 Februari, 2025

Topics

 

Hangat

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Five more suspects arrested in RM4.6 mil Genting casino chip heist

Police have tracked down five local men, including the mastermind of the RM4.6 million casino chips heist at Genting Highlands on October 28, believed to be the largest chips robbery in the highland resort’s history.

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Related