HEADLINES

‘Sukar menang’ PAS bertanding DUN Ayer Kuning hanya untuk kurangkan majoriti: penganalisis

Penganalisis berpendapat Ayer Kuning adalah kawasan tradisi Melayu Umno dan parti itu tidak pernah kalah di situ

8:00 AM MYT

 

KUALA LUMPUR  – PAS lebih terdorong untuk mengurangkan majoriti dan sokongan orang Melayu terhadap Umno pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning kerana sedar peluang untuk menang sangat tipis.

Penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Madya Mazlan Ali berkata, ini kerana Ayer Kuning merupakan kawasan tradisi Melayu Umno.

“Umno tak pernah kalah di situ, Ayer Kuning itu kawasan tradisi Melayu Umno, jadi dengan undi orang Melayu, Umno dah boleh menang, cukup mudah.

“PAS pun tidak mungkin akan all-out (sepenuhnya) kerana melihat kepada keputusan sebelum ini mereka mungkin tidak meletak harapan tinggi.

“Mungkin misi mereka di Ayer Kuning adalah untuk mengurangkan majoriti dan mencipta naratif orang Melayu sudah semakin menolak Umno dan kerajaan Madani,” katanya kepada Scoop.

Profesor Madya Mazlan Ali berkata PAS mungkin tidak meletakkan harapan yang tinggi di PRK DUN Ayer Kuning. – Gambar fail Bernama, 20 Mac, 2025

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan.

PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian wakil rakyat kawasan itu, Ishsam Shahrudddin, 59, yang juga Ketua Umno Bahagian Tapah, Sabtu lalu akibat serangan jantung ketika menyertai kejohanan bola sepak di Pulau Pinang.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Ishsam mewakili BN menang dengan majoriti 2,213 undi apabila meraih 9,088 undi dalam pertembungan lima penjuru, mendahului calon Pakatan Harapan (6,875), Perikatan Nasional (6,812), Parti Pejuang Tanahair (105) dan Parti Sosialis Malaysia (586).

Dalam pada itu, Mazlan turut menjangkakan Barisan Nasional (BN) akan menang dengan majoriti besar di Ayer Kuning dan mengulangi kejayaan seperti di DUN Mahkota.

“Jumlah pengundi Cina di Ayer Kuning agak signifikan iaitu 21% manakala India 14%, jadi pengundi bukan Melayu ini fix deposit untuk PH.

“PH dan BN sudah bergabung, kita tengok di PRK Mahkota telah terjemahkan di mana gabungan PH-BN menjadi kerjasama mantap.

“Faktor lain, dua tahun pentadbiran kerajaan Madani kita nampak banyak kejayaan, jadi undi akan terus beralih kepada calon BN,”katanya yang menambah PRK kali ini tidak akan menjadi sehingga lima penjuru seperti PRU-15 lalu.

Sementara itu Felo Majlis Profesor Negara dan Akademi Penyelidikan Nusantara (NASR), Azmi Hassan berkata, strategi utama PAS bukan untuk menang tapi untuk melakar alasan-alasan yang boleh memburukkan kerjasama BN-PH.

“PAS bertanding kerana ingin menterjemahkan jika ada kekurangan yang mendadak ataupun tidak naik mendadak majoriti yang dimenangi oleh Umno sebelum ini.

“Jadi PAS boleh menyatakan kesepakatan PH dan Umno di peringkat negeri, di Perak itu tidak menjadi. Kerjasama dalam gabungan itu masalah.

“Jadi saya rasa itu strategi utama kerana apa jua kemenangan yang akan diperoleh oleh Umno dalam PRK, yang paling penting adalah majoriti.

“Sepatutnya majoriti itu meningkat dua tiga kali ganda jika pengundi PH keluar mengundi dan menyokong calon Umno,” katanya.

Namun beliau berkata, jika majoriti dalam PRK akan datang tidak meningkat, PAS boleh menggunakan alasan terdapat boikot dalam kalangan pengundi PH.

“Jadi itu tujuan utamanya kenapa PAS dikatakan terjun dalam PRK ini. Jika undi diperoleh PAS melebihi undi diperolehnya dua tahun lalu, PAS boleh mendabik dada bahawa pengundi Melayu dan bukan Melayu sudah mula menerima PAS di Perak,” katanya.

Ariff Aizuddin Azlan berkata tidak mustahil PAS mampu mencipta kejutan di PRK DUN Ayer Kuning jika ia berkempen dengan politik matang. – Gambar media sosial, 20 Mac, 2025

Sementara pensyarah kanan Sains Politik dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), Ariff Aizuddin Azlan berkata, peluang untuk PAS mencipta kejutan bergantung kepada modal politik yang akan dipertaruhkan PAS sepanjang berkempen nanti.

“Dalam konteks politik sekarang, tidak mustahil PAS mampu mencipta kejutan walaupun hakikat sebenarnya parti itu pernah ditewaskan BN.

“Jika PAS beralih kepada corak berkempen politik matang tanpa ada menyentuh mana-mana perkara yang dianggap sensitif seperti isu 3R (raja, agama dan kaum), mereka mungkin mempunyai peluang cerah menembusi kawasan pengundi Ayer Kuning,” katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Ayer Kuning, Perak pada 26 April depan. – 20 Mac, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related