HEADLINES

Penyelesaian isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman tidak boleh dijadikan kes rujukan rumah ibadat lain: Zaliha

Setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa

7:10 PM MYT

 


KUALA LUMPUR — Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa menegaskan penyelesaian berhubung isu Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman  di Jalan Masjid India, di sini, tidak boleh dijadikan sebagai kes rujukan bagi rumah ibadat lain.

Menurut Dr Zaliha, setiap isu melibatkan rumah ibadat akan dinilai secara individu berdasarkan garis panduan, kedudukan tanah dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Saya ingin tegaskan bahawa penyelesaian ini adalah khusus bagi kes ini sahaja dan tidak boleh dijadikan kes rujukan (precedent case) bagi rumah ibadat lain.

“Saya juga ingin mengingatkan semua pembinaan rumah ibadat baharu perlu mematuhi semua garis panduan serta peraturan sedia ada bagi menjamin keharmonian dan ketenteraman awam di Wilayah Persekutuan,’’ katanya menerusi hantaran di media sosialnya hari ini.

Terdahulu, Dr Zaliha pada sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, Kuil Dewi Sri Pathrakaliamman itu akan dipindahkan 50 meter dari tapak asal, di mana sebuah masjid akan dibina.

Tapak baharu kuil itu akan meliputi kawasan seluas 4,000 kaki persegi bersamaan dengan saiz tapak sedia ada.

Dr Zaliha berkata, keputusan ini dicapai selepas perbincangan diadakan melibatkan pelbagai pihak termasuk pengurusan kuil dan ia merupakan sebahagian daripada Lot PT 95, Seksyen 40, Mukim Bandar Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Dr Zaliha turut meminta semua pihak supaya terus memelihara keharmonian dan keamanan yang sekian lama menjadi asas kekuatan negara.

“Prinsip kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan akan terus dihormati, di samping memastikan kepentingan awam dan kedaulatan undang-undang terus terpelihara.

“Setiap keputusan yang diambil adalah berpaksikan semangat muhibah serta keharmonian masyarakat majmuk,’’ katanya.

Kerajaan, katanya, sentiasa menghormati hak dan kepercayaan semua penganut agama dan dalam masa yang sama memastikan setiap keputusan yang diambil bersifat adil, inklusif serta mengutamakan kepentingan bersama.

Beliau juga menyeru kepada semua pihak termasuk pemimpin dan masyarakat agar tidak memanipulasikan isu ini dengan memainkan sentimen perkauman dan keagamaan.

Isu ini telah mencetuskan perdebatan mengenai kesahihan kuil berusia 130 tahun itu, serta mengapa DBKL tidak menawarkan untuk menjual tanah tersebut kepada pihak pengurusan kuil.

Bagaimanapun Jakel Trading dan pihak pengurusan kuil telah diminta untuk berunding mengenai perkara ini, dengan DBKL sebagai pemudah cara. – 25 Mac 2025

Topics

 

Hangat

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Subsidised RON95: how cheap is Malaysia’s fuel compared to neighbours?

There has been a spate of viral videos showing vehicles from neighbouring countries such as Thailand and Singapore being filled with Malaysia's heavily subsidised RON95 petrol, indicating a blatant disregard for local laws.

Mutiara LRT project kicks off as Penang’s six-year construction timeline begins

SRS Consortium receives notice to proceed with first civil works; RM13 billion project slated for completion by 2031

Related