HEADLINES

Lagu ‘Tunggu Sekejap’ jawapan Anwar mengenai keputusan pemilihan PKR

PM memberi jawapan spontan itu ketika ditanya mengenai beberapa ‘nama besar’ yang tewas pada peringkat cabang parti

4:03 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai cara tersendiri untuk menjawab mengenai keputusan pemilihan PKR dengan memetik bait lagu ‘Tunggu Sekejap’ dendangan Tan Sri P. Ramlee.

“Tunggu sekejap, jangan dikenang orang jauh…tunggu sekejap,’’ kata Perdana Menteri ketika ditanya mengenai beberapa ‘nama besar’ yang tewas pada peringkat cabang parti itu.

Anwar bagaimanapun tidak memberikan ulasan lanjut dan menjawab soalan tersebut secara santai dan berseloroh ketika hadir pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Sains dan Teknologi (Mosti), di Putrajaya, hari ini.

Pada proses pemilihan PKR yang berakhir semalam, Timbalan Menteri Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir gagal mempertahankan jawatannya sebagai Ketua Cabang PKR Johor Bahru apabila tewas kepada Mohamad Taufiq Ismail.

Manakala Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew, juga gagal mempertahankan kedudukan sebagai Ketua Cabang Kota Kinabalu dengan tewas kepada Adun Api-Api, Lee Li Mei.

Pemilihan PKR bagi jawatan peringkat cabang serta sayap wanita dan pemuda telah bermula pada 11 April dan berakhir semalam.

Setakat ini, beberapa nama besar turut tewas termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar, Nik Nazmi Nik Ahmad, yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang PKR Setiawangsa.

Nik Nazmi, yang juga Ahli Parlimen Setiawangsa sejak 2018 dan Naib Presiden PKR, tewas kepada pelakon dan pelawak Datuk Afdlin Shauki serta merancang untuk membuat rayuan terhadap keputusan pemilihan itu.

Nama besar lain yang turut tewas termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli, yang gagal dalam usahanya untuk merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya; Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail yang tersingkir sebagai Ketua Cabang Shah Alam; serta Ahli Parlimen Batu P Prabakaran yang gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Batu setelah tewas kepada bekas aktivis pelajar Asheeq Ali.

Beberapa pemimpin yang memegang jawatan tinggi dalam parti juga mendapati kedudukan mereka tidak membantu, seperti Naib Presiden PKR K Saraswathy, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, tewas dalam percubaannya untuk merebut jawatan Ketua Cabang Bukit Bintang.

Ahli Parlimen Petaling Jaya merangkap Pengarah Komunikasi PKR, Lee Chean Chung, turut gagal dalam usahanya untuk merebut jawatan Ketua Cabang dan telah mengemukakan rayuan kepada jawatankuasa pemilihan PKR.

Walaupun pemilihan di peringkat cabang telah selesai, pengundian bagi jawatan dalam Majlis Pimpinan Pusat serta jawatan nasional untuk wanita dan pemuda akan diadakan pada 24 Mei ini. – 21 April, 2025

Topics

 

Hangat

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

SIC quashes F1 return rumours for 2026

Speaking to Scoop, SIC chief executive officer Azhan Shafriman Hanif said the SIC has not approached F1 or has any agreement to bring the race back. 

Solat Jumaat di pusat beli-belah: Zulkifli galak negeri lain turut serta

Menteri Agama Dr Zulkifli Hasan mengalu‑alukan negeri lain mencontohi Wilayah Persekutuan yang sudah mula laksana solat Jumaat di pusat beli‑belah, sambil merancang perluasan ke terminal, lapangan terbang dan R&R lebuh raya

Related