HEADLINES

Naluri keibuan bukan hanya milik manusia, tindakan gajah setia menanti anak yang mati dilanggar runtun hati masyarakat

Gajah bukan haiwan biasa. Ia ada memori, ada emosi. Antara keduanya, yang paling besar dia miliki adalah cinta, kata netizen

2:09 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kisah seekor ibu gajah yang setia menunggu jasad anaknya yang mati dilanggar lori di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik-Jeli awal pagi semalam terus meruntun hati rakyat Malaysia walaupun lebih 24 jam telah berlalu.

Kisah tragis yang berlaku pada sambutan Hari Ibu itu mengajar kita bahawa naluri keibuan dan kasih sayang bukan hanya dimiliki manusia, bahkan turut dirasai haiwan.

Seorang pengguna Facebook,  Mohd Amir Faizal menerusi perkongsian secara langsung pagi ini berkata ketika kejadian berlaku, beliau sedang membuat rondaan pemantauan keselamatan di JRTB dan dapat mendengar dengan jelas tangisan ibu gajah berkenaan. 

“Kalau lihat pada bahagian hadapan lori, memang ada kerosakan. Tapi kerosakan itu berpunca daripada tindakan ibu gajah yang menolak lori tersebut berulang kali kerana cuba menarik keluar anaknya.

“Ibu gajah terus mencuba, berkali-kali, sebab ketika itu anaknya masih hidup. Tapi ia tidak mampu menolak lori itu kerana terlalu berat. Itulah seorang ibu, tetap berusaha melakukan yang terbaik demi anaknya,” katanya dalam siaran langsung berdurasi kira-kira 45 minit.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Facebook Amirul Abraham, menulis: “Gajah bukan haiwan biasa. Ia ada memori, ada emosi. Antara keduanya, yang paling besar dia miliki adalah cinta. 

“Kalau manusia pun sanggup bergadai nyawa demi anak, apatah lagi makhluk yang tidak pernah mengenal erti benci. Ibu gajah itu terus menunggu, bukan kerana dia tidak tahu anaknya sudah tiada,” katanya.

Pengguna aplikasi X dikenali sebagai Rohirrim pula berkata: “Inilah makna dan erti sebenar Hari Ibu. Haiwan juga makhluk Allah yang wajar dikasihi seperti manusia. Semoga pihak berwajib mengambil tindakan sewajarnya untuk ibu gajah tersebut.”

Seorang lagi pengguna, Apip Amran, menulis: “Pada Hari Ibu Sedunia, seekor ibu gajah di Gerik kehilangan anaknya yang dirempuh lori.

“Tiada hadiah yang lebih memilukan… hanya doa agar si kecil kini tenang di tempat yang lebih baik. Sebuah kehilangan yang merobek jiwa, di hari yang sepatutnya penuh kasih.”

Terdahulu, tular satu rakaman video memaparkan seekor gajah dewasa cuba menolak sebuah lori selepas anaknya, yang dianggarkan berusia lima tahun, dipercayai mati akibat dilanggar kenderaan berat tersebut.

Ketua Polis Daerah Gerik Superintenden Zulkifli Mahmood dalam kenyataan memaklumkan insiden itu berlaku di Kilometer 80 Jalan Raya Timur-Barat Gerik-Jeli pada 2.50 pagi Ahad. – 12 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related