HEADLINES

ASEAN boleh jana potensi ekonomi AS$2.3 trilion dengan manfaatkan bakat wanita: Tengku Zafrul

Beliau berkata tugas kalangan pemimpin ASEAN dalam sektor awam dan swasta ialah memastikan wanita di ASEAN dihormati, bukannya menjadi mangsa

2:08 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Langkah memanfaatkan bakat daripada 334 juta wanita di seluruh ASEAN menerusi pendidikan, akses kepada peluang dan dasar yang menyokong boleh menjana potensi ekonomi luar biasa bernilai AS$2.3 trilion, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Ketika mengakui wanita sering berhadapan dengan keadaan yang tidak memihak kepada mereka, beliau berkata ASEAN boleh mengubah keadaan itu dengan memperkukuh persekitaran yang membolehkan wanita meneruskan kelangsungan, berkembang maju, memasuki atau menyertai semula tenaga kerja, memulakan atau mengekalkan perniagaan, serta tidak perlu memilih antara dunia keibuan dan kerjaya.

“Ini adalah pelan hala tuju untuk kemakmuran masa depan Malaysia dan ASEAN,” katanya ketika berucap menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Ekonomi Wanita ASEAN 2025, yang diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini, hari ini.

Beliau berkata tugas kalangan pemimpin ASEAN dalam sektor awam dan swasta ialah memastikan wanita di ASEAN dihormati, bukannya menjadi mangsa.

Rangka kerja Ekonomi Madani Malaysia — menekankan kemampanan, kemakmuran dan keterangkuman — meletakkan pemerkasaan wanita sebagai nadi pembangunan negara, katanya.

Tengku Zafrul berkata contohnya, di Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) sendiri, pihaknya telah melaksanakan pelbagai langkah utama termasuk melancarkan Program Pembangunan Pengeksport Wanita, membantu 500 perniagaan diterajui wanita mengakses pasaran antarabangsa.

“Kami juga memperkenalkan peruntukan responsif terhadap gender dalam semua perjanjian perdagangan baharu, dan mewujudkan dana berjumlah RM200 juta khusus untuk usahawan wanita dalam sektor pertumbuhan tinggi,” katanya.

Beliau berkata langkah lain ialah pengenalan Inisiatif Wanita dalam Industri dan Perdagangan (WITI), sebuah kerjasama dengan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA) bertujuan meningkatkan kemahiran dan keupayaan wanita dalam sektor perindustrian dan eksport.

“Saya juga perlu menekankan bahawa dalam MITI, wanita membentuk kira-kira 69 peratus daripada pengurusan utama. Saya tidak dapat melakukan apa-apa tanpa mereka.

“Contohnya, ketua perunding bagi rundingan tarif Amerika Syarikat (AS) dan seorang daripada Timbalan Ketua Setiausaha MITI ialah wanita. Kami juga mempunyai ramai lagi yang berpengalaman luas,” katanya.

Rundingan mengenai Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) terkini Malaysia kini merangkumi bab khusus mengenai penyertaan ekonomi oleh wanita memandangkan perdagangan inklusif ialah perdagangan yang mampan.

Malaysia juga berazam untuk melonjakkan penyertaan tenaga kerja wanita kepada 63 peratus menjelang 2030, memastikan 30 peratus jawatan lembaga korporat dipegang oleh wanita, dan menggandakan bilangan perniagaan diterajui wanita yang mengakses pasaran eksport. – 24 Mei, 2025

Topics

 

Hangat

Malaysia’s longest river bridge opens, linking Sebuyau and Maludam

The RM848.75 million Batang Lupar No. 1 Bridge marks a new era in Sarawak’s coastal connectivity, replacing decades-old ferry crossings

Foreign workforce drops 13% as Malaysia pushes local hiring

Government maintains hiring freeze, prepares new levy system to curb dependency by 2030

Malaysia’s medal tally takes a dent after key sports excluded from Glasgow Commonwealth

OCM accepts decision of badminton and squash, among others, being axed from 2026 Games as organisers plan for a leaner, more financially sustainable event

Related