KEKALAHAN Datuk Seri Rafizi Ramli kepada Nurul Izzah Anwar untuk jawatan Timbalan Presiden PKR dalam pemilihan parti malam tadi nampaknya tidak dapat dielakkan dan berkemungkinan hasil strategi terancang puak tertentu dalam parti.
Dengan keputusan yang sudahpun dijangka ramai, Nurul Izzah memperoleh 9,803 undi, jumlah ketara mengatasi 3,866 undi Rafizi dengan margin kemenangan 72%.
Keputusan ini menandakan perubahan ketara dalam kepimpinan parti ketika mereka bersiap sedia untuk pilihan raya PRU16 dan PRU17 akan datang.
Ia juga menunjukkan bahawa Rafizi telah kehilangan sokongan ahli parti, terutama mereka di peringkat akar umbi, manakala Nurul Izzah memanfaatkan kemerosotan keyakinan ini.
Awal bulan ini, semua ahli yang menyokong Rafizi tewas dalam pemilihan bahagian parti masing-masing, membayangkan keputusan yang kita lihat malam tadi.
Apapun, hanya Rafizi yang perlu dipertanggungjawabkan atas kekalahan ini, dan bukannya mereka yang mungkin ingin melihat dia disingkirkan.
Walaupun ada yang telah merancang untuk menyingkirkannya dari jawatan Timbalan Presiden, tidak banyak yang dilakukan Rafizi untuk memperbaiki kedudukannya sendiri.
Kejatuhannya boleh dikaitkan dengan prestasinya sebagai Menteri Ekonomi dan taktik yang digunakannya menjelang pemilihan parti.
Pendekatan Rafizi menggalakkan undi untuk lawannya semasa kempen seolah ‘senjata makan tuan’, dan tindakannya beberapa hari sebelum pilihan raya-seperti memberitahu setiausaha agung dan presiden keengganannya merasmikan Kongres Sayap Pemuda dan Sayap Wanita-mungkin menjadi titik tolak.
Akibatnya, ahli yang pada mulanya merancang untuk mengundinya mungkin telah berubah fikiran.
Apakah langkah Rafizi seterusnya?
Walaupun Rafizi telah menunjukkan rasa lega apabila kembali ke kehidupan peribadi dan telah mengulangi dedikasinya untuk memperjuangkan fahaman politiknya, masih belum jelas sama ada beliau akan terus menjadi ahli PKR.
Terdapat sedikit ketidakpastian dalam kalangan orang ramai sama ada Rafizi akan terus menyandang jawatan menteri, lebih-lebih lagi selepas beliau menyatakan akan meletak jawatan sekiranya kalah dalam pemilihan parti.
Pun begitu, masih perlu dilihat sama ada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membenarkan Rafizi meletak jawatan, memandangkan Perdana Menteri telahpun menyatakan bahawa beliau tidak bercadang untuk merombak kabinet.
Jika Rafizi kekal sebagai Menteri Ekonomi, terdapat beberapa isu utama yang perlu ditanganinya.
Pertama, beliau perlu mengambil alih isu Tarif AS dan bukan menyerahkannya kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, dan Anwar. Menguruskan perkara ini terletak di bawah tanggungjawab Menteri Ekonomi.
Selain itu, Rafizi juga perlu mengambil semula tanggungjawab mengetuai penghapusan subsidi RON95 yang disasarkan daripada Kementerian Kewangan, kerana ini juga sebahagian daripada peranan Menteri Ekonomi.
Sekiranya beliau mahu terus berkhidmat, Rafizi juga perlu menumpu kepada isu pendaftaran rakyat Malaysia dengan Hab Pangkalan Data Pusat (PADU) kerajaan dan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR), yang bertujuan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat yang berpendapatan rendah.
Adakah kebimbangan terhadap keselamatan siber berkaitan PADU telah ditangani? Jika tidak, Rafizi perlu mengambil tindakan.
Ini adalah antara isu yang perlu difokus dan diselesaikan Rafizi, kerana tanpa sebarang tindakan ia boleh memberi gambaran buruk kepada Kerajaan Madani.
Kita semua mahu melihat Rafizi yang berani berdepan dengan National Feedlot Corporation (NFC) dan skandal 1 Malaysia Development Bhd (1MDB), bukannya versi beliau yang menunjukkan kesedihan dan kehampaan yang mengecewakan rakyat.
Orang ramai berhak mendapat pemimpin yang berwibawa, dan Rafizi boleh menjadi antara mereka jika dia kembali ke landasan yang betul.
Akhirnya, terpulang kepada Rafizi untuk menolong dirinya sendiri. – 25 Mei 2025
T. Vignesh ialah editor eksekutif Scoop

