KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) Selangor menyatakan sokongan penuh dan tidak berbelah bahagi terhadap Datuk Seri Amirudin Shari untuk terus kekal sebagai Menteri Besar Selangor sehingga tamat penggal pentadbiran sedia ada.
Sokongan itu dizahirkan menerusi satu kenyataan bersama tiga pimpinan tertinggi PH negeri, iaitu Timbalan Pengerusi PH Selangor yang juga Pengerusi DAP Selangor, Ng Sze Han, Pengerusi Amanah Selangor, Datuk Izham Hashim dan Timbalan Pengerusi PKR Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.
Menurut kenyataan itu, pentadbiran Amirudin bukan sahaja dilihat stabil serta progresif, tetapi juga berperanan penting dalam menjayakan pelbagai dasar dan agenda pembangunan negeri yang sedang giat dilaksanakan.
“Kesinambungan kepimpinan Amirudin amat penting bagi memastikan pelbagai projek mega dan dasar rakyat dapat diteruskan secara konsisten.
“Ini termasuk Rancangan Selangor Kedua (RS-2), pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey, pelaksanaan agenda Iltizam Selangor Penyayang, serta pembinaan semula Kompleks Stadium Shah Alam,” kata kenyataan bersama itu.
Pimpinan PH Selangor turut menjelaskan kestabilan politik negeri perlu dipelihara bagi memberi keyakinan kepada pelabur tempatan dan antarabangsa serta mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai enjin utama ekonomi negara.
“Gabungan pengalaman beliau dalam mentadbir negeri dan ketokohan beliau sebagai Pengerusi PH Selangor telah memainkan peranan penting dalam memacu kerjasama antara PH dan Barisan Nasional di Selangor.
“Ini terbukti membawa kepada kejayaan membentuk Kerajaan Perpaduan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) tahun lalu,” tambah mereka lagi.
Mereka juga berpandangan Amirudin merupakan tokoh yang tepat untuk terus mengetuai pentadbiran negeri demi menjayakan agenda Malaysia Madani digagaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sebagai negeri paling maju dan berpendapatan tinggi, kepimpinan berterusan Amirudin diperlukan bagi memastikan Selangor terus menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara, malah berupaya menjadi contoh tadbir urus cemerlang di peringkat negeri,” katanya.
Kenyataan ini dikeluarkan di tengah-tengah spekulasi politik dan desas-desus berkaitan kedudukan Amirudin sebagai Menteri Besar.
Ia susulan tindakan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi Nik Ahmad meletakkan jawatan daripada kabinet.
Spekulasi itu diperkuatkan lagi dengan tindakan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengumumkan keluar Umno untuk menyertai PKR.
Amirudin hari ini turut menepis desas desus berkenaan Zafrul akan menggantikan beliau sebagai menteri besar.
“Pada pendapat saya, terlalu panjang ceritanya, saya tak rasa ada jalan itu sebab nak kena buat pilihan raya kecil lagi”.
“Kita hanya berbaki dua tahun setengah, jadi tidak banyak kita boleh aturkan, kita kena lihat lagi sebarang perkembangan terkini,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Tua dan Ahli Parlimen Gombak itu. – 31 Mei, 2025

