HEADLINES

‘Saya serah semua kepada PM, mahu tumpu ibadah haji’, kata Zafrul

Menteri pelaburan minta ruang berikutan isu Umno-PKR, sahkan pertukaran parti adalah keputusannya sendiri

10:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz enggan mengulas mengenai kedudukan Kabinetnya berikutan tindakan keluar daripada Umno dan menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita sebelum berangkat untuk menunaikan haji bersama keluarganya, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu berkata keutamaannya kini adalah menumpukan kepada ibadah haji dan muhasabah diri.

“Saya tidak ada komen. Saya ingin memberi fokus kepada (ibadah) haji bersama keluarga saya.

“Saya serahkan semua (berhubung kedudukan dalam Kabinet) kepada Perdana Menteri,” katanya.

Zafrul juga menegaskan keputusannya meninggalkan Umno dan menyatakan hasrat menyertai PKR adalah atas kerelaan beliau sendiri dan bukan kerana tekanan luar.

“Ini bukan keputusan yang mudah, tetapi saya telah memikirkannya secara mendalam. Ia sepenuhnya pilihan saya sendiri dan saya menghargai mereka yang menghormati hak saya untuk menentukan hala tuju politik saya,” katanya, sambil mengulangi bahawa beliau telah memaklumkan kepada presiden PKR Anwar dan setiausaha agung Fuziah Salleh tentang hasratnya untuk menyertai parti itu.

Beliau juga berterima kasih kepada presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan rakan-rakan ahli parti atas sokongan mereka selama bertahun-tahun.

“Terima kasih juga saya nak ucapkan sekali lagi kepada Presiden UMNO, rakan dan ahli UMNO yang banyak membantu saya, memberi sokongan serta dorongan sepanjang saya aktif dalam UMNO.

“Buat masa ini, saya mohon kepada semua untuk memberi saya ruang memfokus kepada ibadah haji, dan saya mohon doakan supaya segala urusan saya dan isteri serta keluarga saya dipermudahkan di sana,” katanya.

Kenyataannya dibuat di tengah-tengah persoalan mengenai status portfolio menterinya, yang menurut Zahid harus dikembalikan kepada parti.

Zahid hari ini mengesahkan Umno secara rasmi menerima surat peletakan jawatan Zafrul dan akan berusaha mengekalkan kuota penuh tujuh menteri dalam Kabinet persekutuan.

“Walaupun kami tidak pasti sama ada pelantikannya atas tiket Umno, kami telah menganggap beliau mewakili kami. Sekarang beliau tidak lagi bersama Umno, kami percaya adalah adil untuk meminta kerusi itu dikembalikan,” kata Zahid, sambil menambah bahawa perkara itu akan dibangkitkan kepada perdana menteri.

Beliau juga berkata pasukan undang-undang Umno akan menyemak sama ada Zafrul telah melanggar sebarang kewajipan kontrak daripada Pilihan Raya Umum Ke-15, termasuk klausa yang mungkin membenarkan parti itu mendapatkan pampasan RM100 juta daripada pembelot.

Zafrul, yang menyertai Umno pada 1997, dilantik sebagai Senator selepas tewas di kerusi parlimen Kuala Selangor pada PRU15.

Fuziah dalam pada itu mengesahkan PKR masih belum menerima permohonan rasmi keahlian daripada Zafrul. – 31 Mei 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related