HEADLINES

Beku harta RM750 juta : Na’imah cabar keputusan mahkamah ‘tidak akan tunduk kepada pembuli’

Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin menegaskan beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan pembekuan harta berkenaan

12:36 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Toh Puan Na’imah Abdul Khalid akan mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan hartanya serta keluarga di luar negara berjumlah lebih RM750 juta.

Isteri kepada bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin itu dalam kenyataan hari ini menegaskan beliau tidak dimaklumkan mengenai tindakan berkenaan dan hanya mengetahuinya melalui laporan media.

Beliau berkata, ini merupakan satu pencabulan mengejut norma undang-undang yang paling asas dan langsung tidak boleh diterima bahawa perkara sebegini berlaku di Malaysia.

“Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu preseden (duluan) yang berbahaya.

“Peguam saya akan segera mencabar dan mengenepikan perintah tersebut.

“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan apa yang tidak sepatutnya dirampas daripada mana-mana antara kita: hak kita, suara kita, dan sebuah negara yang ditadbir oleh undang-undang, bukan oleh ketakutan.

“Jangan ada keraguan bahawa saya akan melawan tindakan yang bermotif politik, cuai, berdendam dan tidak berlandaskan undang-undang ini melalui segala peralatan perundangan yang tersedia kepada saya,” katanya.

Na’imah mendakwa SPRM memperoleh perintah ex-parte (sebelah pihak) itu secara rahsia dan dirinya tidak diberi peluang untuk bersuara di mana beliau sepatutnya dibenarkan menyatakan pembelaan di mahkamah.

“Tiada orang yang munasabah akan mengatakan bahawa ini selaras dengan keadilan atau prinsip keadilan asasi. Mereka telah memperolehi perintah tersebut secara serang hendap.

“Malah tiada peruntukan dalam undang-undang yang membenarkan permohonan ex parte seperti ini dibuat. Dan kini mereka bersembunyi di sebalik selimut legaliti untuk menjustifikasikan sesuatu yang secara jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan SPRM membekukan tujuh hartanah dan satu akaun bank bernilai 132 juta pound Britain (RM758.2 juta) milik Na’imah dan keluarga.

Tiga kediaman mewah dan dua bangunan komersial di London antara aset dibenarkan dibekukan.

Perintah itu diberikan Hakim Azhar Abdul Hamid selepas membenarkan permohonan dikemukakan pada prosiding secara ex-parte.

Mengulas lanjut, Na’imah berkata beliau tidak hairan SPRM akan menggunakan kaedah jelas yang dilihat taktik langsung daripada kempen pemburukkan panjang dan berterusan yang didakwa dijalankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ketua Pesuruhjaya SPRM terhadap Daim dan keluarganya sejak akhir 2022.

“Perkara yang paling membimbangkan dan mengejutkan adalah bahawa ini dilakukan walaupun tiada sebarang kesalahan jenayah dibuktikan terhadap Daim.

“Undang-undang yang digunakan oleh SPRM, iaitu Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA), memperuntukkan bahawa perintah seperti ini hanya boleh diberikan jika terdapat “kesalahan serius” seperti yang ditakrifkan dalam Jadual Kedua.

“Tiada kesalahan seperti itu pernah dibuktikan terhadap saya. Tiada pertuduhan seperti itu pernah dikenakan terhadap Daim. Tiada dapatan seperti itu pernah dibuat – tidak semasa hayatnya, dan sudah pasti bukan selepas kematiannya.

“Badan kerajaan tidak seharusnya bertindak mengikut kehendak sendiri. Adakah khabar angin, syak wasangka dan dendam politik kini mencukupi untuk merampas aset dan harta rakyat.

“Saya tidak akan tunduk kepada pembuli. Kebenaran dan keadilan akan menang,’’ tegasnya. – 4 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

[TONTON] Urus zakat secara audit bebas, profesional atasi ‘loopholes’: MCW

Jais Abdul Karim menegaskan kutipan zakat dan derma awam perlu diaudit secara profesional, dengan garis panduan jelas agar dana tidak disalahguna sambil mengingatkan, amil berhak menerima bahagian secukupnya — bukan bermewah — kerana ini ibadah, bukan perniagaan

Insiden FSO Sepat: Petronas sahkan tiga pekerja kontraktor maut, seorang parah bot jatuh dari pelantar

Proses bedah siasat terhadap tiga pekerja kontraktor yang maut akan dijalankan pada jam 8.30 pagi ini, manakala mangsa yang cedera parah masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ)

Malaysia risks missing World Cup 2026 as pressure mounts for Free-to-Air broadcast deal

Analysts urge urgent government intervention to secure accessible coverage of the FIFA World Cup 2026, warning that cost barriers could sideline fans and weaken the nation’s football culture

Related