HEADLINES

Isu fatwa sesat: Keputusan rayuan SIS Forum diketahui 19 Jun

Fatwa itu diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014

4:30 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Keputusan rayuan SIS Forum (Malaysia) untuk mencabar fatwa dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam akan diketahui 19 Jun ini.

Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Datuk Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor ketika dihubungi hari ini.

“Tarikh keputusan itu diberikan kepada pihak-pihak menerusi e-mel oleh Mahkamah Persekutuan pada 20 Mei lalu,” kata peguam itu.

Selain Jawatankuasa Fatwa, turut dinamakan sebagai responden dalam rayuan itu ialah Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Negeri Selangor.

Pada 21 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada SIS Forum dan pengasasnya Zainah Mahfoozah Anwar untuk meneruskan rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada tahun sama, yang menolak rayuan SIS Forum untuk membatalkan fatwa itu.

Mahkamah Rayuan dalam keputusan majoriti 2-1 memutuskan fatwa yang disediakan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor bukanlah keputusan muktamad dan dengan itu tidak boleh dicabar melalui permohonan semakan kehakiman.

SIS Forum dan Zainah merayu kepada Mahkamah Rayuan selepas mereka tidak berjaya dalam usaha mereka di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan fatwa berkenaan. Permohonan semakan kehakiman mereka ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 27 Ogos 2019.

Fatwa itu, yang diwartakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada 31 Julai 2014, mengisytiharkan bahawa SIS Forum, individu dan kumpulan yang mengamalkan fahaman liberalisme serta pluralisme sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam.

Fatwa itu juga mengarahkan mana-mana penerbitan yang mengandungi pandangan liberal dan plural hendaklah diharamkan serta dirampas selain meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia untuk menapis laman sesawang sosial yang bercanggah dengan ajaran Islam serta hukum syarak. – 6 Jun, 2025

Topics

 

Hangat

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

12 hours on the road no guarantee for liveable wages, say several food delivery riders

Long working hours and cut-throat remuneration structure have been a bane for food delivery riders recently with some considering to leave their current service platform for another – or find a new job altogether.

Related