MINA – Buat pertama kalinya, Arab Saudi menggunakan dron bagi menghantar ubat-ubatan dan bekalan perubatan ke hospital serta pusat kesihatan di tanah suci, sebagai sebahagian daripada projek perintis sempena musim Haji tahun ini.
Menurut Agensi Berita Saudi (SPA), operasi yang dikendalikan Kluster Kesihatan Makkah bersama National Unified Procurement Company (NUPCO) menjadi langkah penting untuk mempercepatkan dan meningkatkan kecekapan logistik penjagaan kesihatan jemaah.
Difahamkan operasi penghantaran pek ais ke Hospital Kecemasan Mina bagi merawat keletihan dan strok haba antara yang utama pada fasa ini.
Inisiatif itu merangkumi beberapa fasa, termasuk penyediaan barangan, pembungkusan mengikut piawaian Pihak Berkuasa Makanan dan Ubat-ubatan Saudi (SFDA) dan pemantauan masa nyata menerusi papan pemuka pusat bagi memastikan penghantaran yang tepat dan selamat.
Sistem ini bertujuan mengurangkan masa respons dan menyokong operasi perubatan kecemasan, terutamanya semasa kesesakan di tanah suci.
Penggunaan dron adalah sebahagian daripada usaha memodenkan perkhidmatan kesihatan di bawah Wawasan Saudi 2030, menzahirkan komitmen kerajaan untuk menyediakan rawatan yang selamat dan cekap kepada jemaah sepanjang musim Haji.
Terdahulu Menteri Kesihatan Arab Saudi, Fahad al-Jalaje berkata, dron pemadam kebakaran digelar Falcon turut dilancarkan buat pertama kali pada musim Haji kali ini.
Direktorat Umum Pertahanan Awam Saudi memaklumkan ia turut dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI) dan direka khusus untuk mengawal api dan operasi menyelamat di lokasi altitud tinggi serta sukar diakses. – 7 Jun, 2025
