KUALA LUMPUR – Siasatan awal yang dijalankan dalam nahas Gerik yang mengorbankan 15 nyawa mendapati pemilik bas berkenaan telah memajak permit yang diperolehinya kepada pihak ketiga dengan bayaran RM500 sebulan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pemilik permit berkenaan yang beralamat di Kedah memperoleh dua pemit iaitu daripada Kementerian Pelancongan dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) dan memajaknya kepada individu di Kelantan.
Menurut Loke, selain kesalahan permit, ia turut tidak mengaktifkan Sistem Pengesanan Global (GPS) dan tidak dapat menyerahkan laporan GPS kenderaan tersebut.
Sehubungan itu, kata Loke, pemilik bas terbabit telah melanggar dua syarat besar dan mengarahkan Apad supaya permit kepada pengedali bas berkenaan akan ditarik balik serta merta.
“Dia ada beberapa buah bas lain jadi semua permit lain dan lesen pengendali itu akan dibatalkan serta merta. Ini tiada rayuan lain walaupun ada proses rayuan boleh dibuat. tetapi saya nak katakan tidak akan dilayan rayuan kerana ini menunjukkan kecuaian yang tidak boleh dimaafkan.
“Dia tidak bertanggungjawab terhadap bas tersebut dan syarat paling penting ada GPS, dia tidak pasang.
“Walaupun pemandu itu mendakwa brek tidak berfungsi, itu kenyataan dia sahaja dan kita akan buat laporan terpedinci termasuk forensik dan sebahagainya tapi daripada rakaman dashcam pengguna jalan raya yang lain, amat jelas ketika itu bas tersebut memotong dengan laju, memecut dan akhirnya terbabas,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media bersama yang diadakan dengan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pengangkutan, Anthony Loke dan Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi di sini, hari ini.
Pada Isnin, seramai 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut abila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik selepas terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan lain di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Nahas itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas, selain pemandu serta tiga penumpang kenderaan pelbagai guna MPV jenis Perodua Alza.
Loke juga memberitahu, pada mesyuarat Jemaah Menteri hari ini bersetuju bahawa satu pengkalan data melibatkan pemandu bas untuk menjadi rujukan kepada pengendali dan syarikat bas yang beroperasi.
“Mana-mana pemandu yang mempunyai rekod lampau akan disenarai hitam melalui pengakalan data ini. Setakat ini kita ini kita tiada pengkalan data dan syarikat yang mengambil mereka tidak mempunyai sistem untuk mengetahui sama ada mereka mempunyai rekod lampau atau tidak,” katanya.
Loke berkata, Jemaah Menteri juga mengarahkan penekanan lebih tegas diberikan terhadap penguatkuasaan, isu latihan dan penilaian terhadap pemandu.
“Kita akan berikan kerjasama sepenuhnya untuk melaksanakan apa yang diarahkan oleh Jemaah Menteri,” katanya. – 11 Jun, 2025

